Saturday 18 September 2021

POKOK TURI BOLEH DIJADIKAN SAYUR

 
Pokok daun turi atau dikenali juga dengan nama geti merupakan pokok hiasan yang juga boleh digunakan sebagai sayur atau ulam. 

Daun dan bunga turi mempunyai kaya khasiat untuk kesihatan manusia.

Pokok turi yang dibiarkan membesar mampu tumbuh tinggi tetapi lazimnya pemilik pokok akan mencantas rendah untuk memudahkan kerja-kerja memetik bahagian pucuknya bagi dijadikan sayuran. Daun turi bersama bunga turi dimasak gulai lemak, selain dijadikan kerabu.

Pokok turi daripada keluarga Fabaceae atau dari keluarga kekacang mudah ditanam asalkan mempunyai benih berkualiti, tanah subur dan dijaga sentiasa.

Pokok turi berbunga sepanjang tahun. Terdapat dua jenis warna bunga turi iaitu merah dan putih krim.

Bunga turi ini amat enak dimakan sebagai kerabu bunga turi yang segar disediakan kerana ia juga didakwa mengandungi zat vitamin B. Bunga turi dalam bentuk kudup yang masih belum terbuka menjadi pilihan peminat bunga turi.

Sementara itu apabila bunga turi menjadi matang ia selalu menghasilkan buah turi. Buah turi mempunyai saiz buah yang agak kecil. Buah turi yang mengandungi biji boleh digunakan sebagai bahan pengganti kepada kacang soya.

Pucuk turi mengandungi khasiat yang tinggi, terutama vitamin C, vitamin B1, vitamin B2, protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium, karotena dan niasin.

Daun turi memang bersifat tonik dan boleh digunakan sebagai ubat kuat dan antipiretik, penyembuh perut kembung, masaalah perut kejang, diarea dan juga masalah cholera.

Caranya dengan kita melumatkan daun dan campurkan dengan air suam dan minum airnya. Petua lama juga ada menyatakan yang cecair daripada batang pokok turi boleh digunakan sebagai ubat dengan cara berkumur bagi membersihkan bahagian mulut dan juga rawatan di bahagian kerongkong.

Pokok turi juga mengandungi sedikit getah yang mengandung beberapa zat pewarna seperti agatin, basorin dan zantoagatin. 

Dalam mengatasi masaalah kesihatan di bahagian hidung berlendir atau sakit kepala daun turi dipilih dengan mengambil segenggam daun dan bunga turi digiling hingga halus. Kemudian ia akan ditambahkan setengah cawan air masak dan bancuh sehingga sebati dan ditapis sebelum diminum.

Bahagian akar pokok turi boleh digunakan untuk mengatasi masalah sengal dan sakit di bahagian sendi kaki atau tangan. Ia mudah sahaja dikawal iaitu dengan mengambil hingga akar dan bunga turi merah secukupnya dan ia perlu digiling halus, 

Selepas itu perlu ditambahkan sedikit air sampai menjadi adunan seperti bubur. Gosokkan kebahagian badan yang sakit secara berterusan beberapa hari.

Penggemar turi biasanya memakan sayur ini secara dimasak lemak atau masak manis. Selain itu ia dibuat ulam dan kerabu.



No comments:

Post a Comment