Berbeza pendapat, berselisih dan bercakaran dalam perkara berkaitan cabang atau juziyyat secara ketelaluan membawa kesan buruk.
Akibat mementingkan perkara yang bukan matlamat perjuangan, maka umat Islam berpecah sesama sendiri. Mereka jadikan sesuatu perkara yang lebih bersifat individu sebagai perkara pokok sebagai titik kepada perpecahan.
Kita bukan ingin mempertahankan sesuatu yang salah dilakukan individu kerana jika itu perbuatan dosa, maka kita tidak boleh mengatakan perbuatan itu mendatangkan pahala.
Tetapi, itu tidak sepatutnya hingga menyebabkan kita berburuk sangka, fitnah, mengumpat, memulau dan sebagainya.
Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.' (Surah al-Hujurat: 12)
Memelihara ukhuwah atau tali persaudaraan sesama Islam itu adalah wajib bahkan tiada khilaf mengenainya lantaran gesaan jelas dalam al-Quran.
Terjadinya fenomena pertelingkahan dalam masyarakat Islam dalam masalah cabang agama terkait kepada ketidaksempurnaan kefahaman agama dan kurangnya nilai tasaamuh atau berlapang dada dalam menyingkap perbezaan pandangan hingga mudah menjatuh hukum.
Ini turut diungkapkan oleh Imam As-Syaatibi dalam kitabnya Al-Muwaafaqaat fi Usuul al-Syariiah, ketika menghuraikan ekstrimisme dalam agama berkait dengan kejahilan terhadap tujuan syariat dengan hanya mengagak-agak maknanya, bukan dengan kematangan ilmu.
Fenomena seperti inilah yang melanda kaum Khawarij satu masa dulu yang dikenali
golongan kuat beribadah namun keras dalam pandangan hingga sewenang-wenangnya
mengkafirkan golongan berbeza pandangan dengan mereka.
Umat Islam perlu memperdalami ilmu syariah secara sempurna bukan
picisan-picisan hingga tergamak menghukum walaupun ilmu belum matang
sepenuhnya.
Sikap keras dalam mempertahankan pandangan hanya akan menjerumuskan umat kepada kemudaratan bahkan kesesatan.
Tidak benar perpecahan di kalangan umatku suatu rahmat seperti yang sering diucapkan oleh mereka yang mengatakan itu satu hadis. Hakikatnya hadis itu dikategorikan hadis palsu oleh ulama hadis.
Islam pentingkan perpaduan, jadi macam mana pula perpecahan dikatakan rahmat. Memang kita dibenarkan berlainan pendapat, tetapi bukan membawa perpecahan sehingga memulau dan saling menjatuhkan.
Kita perlu melihat bagaimana Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Hambali dan imam-imam muktabar yang lain yang berbeza pendapat tetapi tidak membawa kepada perpecahan.
Mereka pentingkan perpaduan dalam mempertahankan perkara berkaitan akidah dan
tauhid.
Sebab itu, pengikut mazahab ini apabila berdepan dengan kumpulan yang menyeleweng, mereka akan bersatu sepertimana ketika berdepan dengan penganut fahaman Muktazilah, Syiah, Hajariah, Musyabihah, Rasdhiah, Qadariah, Jabariah dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment