Wednesday 30 May 2018

MASYARAKAT MODEN TIDAK HORMATI GOLONGAN TUA

Sikap golongan muda yang tidak menghormati golongan tua berlaku di dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup bersandarkan kepada kebebasan bersuara, hak individu, sama rata dan tidak mengutamakan syariat agama. 

Cara hidup sebegini begitu meluas di negara Barat yang menjadi punca kejatuhan moral golongan muda di sana. Sebenarnya masyarakat di Barat semakin menuju kehancuran disebabkan masalah keruntuhan moral rakyatnya. Kemajuan sains dan teknologi tidak mampu bertahan jika moral rakyat musnah. 

Malah, masyarakat yang moralnya musnah akan menggunakan kemajuan sains dan teknologi untuk menghancurkan sesama manusia. Akhirnya, manusia akan musnah akibat menggunakan hasil ciptaan manusia sendiri.   

Cara hidup demikian tidak ubah seperti hidup di alam haiwan. Haiwan tidak membezakan antara tua dan muda. Siapa lebih kuat dialah yang akan berjaya mendapat apa diingini. Tidak ada status dalam masyarakat haiwan untuk dihormati dan diutamakan. 

Itu sudah tabie kejadian haiwan yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Sesungguhnya sesiapa yang mengikut tabie haiwan, dia adalah lebih hina daripada haiwan. 

Sekarang ini didapati amalan yang diamalkan di alam haiwan ini semakin menular di dalam masyarakat. Golongan muda tidak mempedulikan kehadiran golongan tua di sisi mereka. Jika melibatkan perebutan atau mendapat yang lebih baik, golongan muda sanggup bertanding dengan golongan tua. 

Contohnya, golongan muda tidak peduli jika orang tua berdiri di dalam bas asalkan dia mendapat tempat duduk. Kononnya siapa dahulu dia yang dapat dan masing-masing membayar harga tiket yang sama. 

Tiada rasa hormat golongan muda terhadap golongan tua sedikit sebanyak dicontohi daripada siaran televisyen. Banyak rancangan dan sitcom yang menonjolkan sikap biadab golongan muda terhadap golongan tua. 

Di manakah letaknya nilai jati diri bangsa yang terkenal mengamalkan budi pekerti yang mulia. Perbuatan mempermain-mainkan golongan tua samalah melakukannya terhadap ibu bapa sendiri.

Cerita lawak menunjukkan golongan tua dipermain-mainkan banyak mempengaruhi minda golongan muda. Kita dapat perhatikan gaya bercakap menengking, memperbodohkan orang tua, mempersendakan fizikal orang tua dan penggunaan bahasa kesat menjadi ikutan golongan muda yang tidak dapat membezakan hiburan lawak dengan realiti yang perlu diikuti.

Sebenarnya boleh dikatakan bahawa perbuatan memaki golongan tua samalah dengan memaki dan mengutuk ibu bapa sendiri. Sesungguhnya dosa memaki ibu bapa adalah amat besar. Begitulah juga dosa memaki golongan tua.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seseorang lelaki mengutuk ibu bapanya. Ramai orang merasa takjub bagaimana orang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak-anak.”

Lantas baginda ditanya: “Bagaimana seseorang itu mengutuk ibu bapanya?”. Rasulullah menjawab dalam sabdanya bermaksud: “Bila orang itu memaki ayah orang lain, lalu orang lain membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Amalan menghormati golongan tua bukan saja perintah agama, tetapi budaya yang diamalkan dalam masyarakat bertamadun. Masyarakat yang menghormati golongan tua mencapai tahap hidup lebih selesa, selamat dan berjaya.

Dalam kebanyakan adat kaum ada yang menjadikan amalan ritual menyembah atau menghormati golongan tua sebagai satu ‘sembahyang’ bagi memohon restu. Sesiapa tidak menghormati golongan tua dianggap melanggar pantang larang dan bakal menerima musibah dalam kehidupan seharian. 

Begitu besar sekali kedudukan golongan tua yang dianggap sebagai punca kesejahteraan, keuntungan dan kejayaan hidup. 

Sebagai penganut Islam, perbuatan tidak menghormati golongan tua bukan sekadar melanggar pantang larang, tetapi melanggar perintah Allah. Amat berat balasan melanggar perintah Allah. Pantang larang sekadar adat, tetapi perintah Allah melibatkan keimanan dan ketakwaan.

No comments:

Post a Comment