Wednesday 30 May 2018

HORMATI WARGA EMAS SEBELUM KITA TUA

Menghormati golongan tua bukan suatu amalan yang asing bagi kita. Sebahagian daripada ahli keluarga kita adalah termasuk golongan tua. Dalam setiap keluarga tentu ada golongan tua seperti bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara. 

Menghormati golongan tua, tidak kira apa hubungan persaudaraan mereka dengan kita adalah sebahagian tanggungjawab menghormati bapa, ibu, datuk, nenek dan saudara mara sendiri. 

Jika difikirkan, menghormati golongan tua bukanlah satu bebanan yang berat untuk ditunaikan. Mereka bukannya meminta dilebihkan dalam layanan dan penghormatan. 

Golongan tua sememangnya menyedari bahawa zaman mereka sudah berlalu. Tidak ada apa lagi yang hendak direbut melainkan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan selesa.

Sebenarnya rata-rata golongan tua merasa sudah memadai jika mereka dilayan secara sederhana. Cukuplah sekadar mereka diberi keistimewaan dalam hal-hal tertentu bagi membolehkan hidup selesa dan selamat. Apa yang penting ialah mereka tidak disisih dan dihina disebabkan usia tua. 

Ramai merasai rungsing apabila memikirkan keadaan hidup menghadapi usia tua. disebabkan wujud fenomena banyak golongan tua mengalami kehidupan usia tua dengan keadaan suram. 

Kerungsingan ini berasas memandangkan kes anak melayan ibu seperti orang gaji semakin meningkat. Banyak ibu bapa dihantar oleh anak mereka ke rumah kebajikan, dan banyak juga orang tuan yang hidup merepat di jalanan. 

Sebenarnya menghormati golongan tua bukan sekadar terhadap ibu bapa dan orang yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan kita. Sebaliknya, wajib bagi setiap orang muda menghormati orang tua, tanpa mengira pertalian persaudaraan, kedudukan dan kekayaan. 

Sesungguhnya, Rasulullah menjelaskan sesiapa yang tidak menghormati golongan tua sebagai bukan orang beriman. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kacil kami.”  (Hadis riwayat Tabrani).

Sikap golongan muda yang menganggap golongan tua membebankan, menyampah, dan mengganggu adalah amat biadab. Mereka lupa suatu hari nanti mereka juga akan menempuh alam tua. Sudah tentu mereka tidak mahu nasib yang dialami golongan tua sekarang akan menimpa pula ke atas diri mereka. 

Sesungguhnya Allah Maha Adil memberi pembalasan. Sesiapa yang tidak menghargai golongan tua, bakal menerima kifarah pada usia tua nanti. Biasanya golongan tua sekarang yang diabaikan adalah terdiri daripada mereka yang ketika usia mudanya selalu mengabai golongan tua.

No comments:

Post a Comment