Friday, 16 February 2018

LATA REX BANYAK AIR TERJUN


Antara lokasi air terjun yang menarik di Kelantan ialah Lata Rex yang terletak di daerah Kuala Krai.  Pengunjung tidak sukar untuk sampai ke Lata Rex kerana kedudukannya hanya kira-kira 3 kilometer dari simpang Kampung Lakloh, Jalan raya Kuala Krai- Gua Musang. Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 100 kilometer dan 40 kilometer dari Kuala Krai. 

Keistimewaan Lata Rex terletak pada hamparan batu yang panjang kira-kira 200 meter dan lebar kira-kira 100 meter membentuk air terjun yang banyak arah mengikut lurah yang berlainan. Keadaan ini memberi satu pemandangan yang cantik dari pelbagai arah. 

Ini memberi banyak pilihan kepada pengunjung untuk berada di bahagian mana yang lebih disukai.  Ada tempat air terjun terbentuk jeram yang menakung air sesuai untuk berenang atau berendam di situ. Pengunjung juga boleh bergerak dan menikmati ‘cabaran’ di pelbagai kedudukan air terjun.

Ketika musim kemarau, air terjun hanya terbentuk mengikut lurah yang lebih dalam. Bagaimanapun ketika musim hujan, air terjun melipasi halangan dari pelbagai arah membentuk lebih banyak air terjun. Pemandangannya sungguh menarik kelihatan seperti air berlumba-lumba untuk sampai ke bawah.

Kawasan yang luas memberi keselesaan untuk pengunjung mandi manda. Bagi kanak-kanak mereka boleh memilih bahagian air terjun yang kecil dan tempat yang rendah. Selain itu kanak-kanak juga sesuai mandi di aliran sungai yang cetek dan kurang laju.

Berhampiran air terjun terdapat kawasan berpasir yang luas sesuai dijadikan tapak perkhemahan dan aktiviti sukan. Bagaimanapun pada musim hujan kawasan tersebut tidak sesuai dijadikan tapak perkhemahan kerana kadar kenaikan air secara mendadak yang membahayakan. 

Lata Rex mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan terkenal jika usaha promosi dan maklumat mengenainya disebarkan lebih meluas. Sekarang ini amat jarang di kalangan penduduk Kelantan sendiri mengetahui mengenai keindahan dan keistimewaan Lata Rex. 

Kedudukannya yang agak jauh dari Kota Bharu mungkin salah satu sebab mengapa tempat itu tidak terkenal berbanding Jeram Pasu dan Jeram Lenang. 

No comments:

Post a Comment