Monday 12 February 2018

FORMULA MATEMATIK LAWAN TEORI POLITIK


Teori matematik tetap dan tidak berubah-ubah. Jika diubah pasti tidak akan ditemui kebenaran atau jawapan.

Jika ada teori baharu, ia tidak mengubah yang dahulu. Yang baharu adalah yang baharu dan yang lama adalah yang lama.  Anda tidak boleh mengubah mana-mana teori matematik yang ada biarpun ada kaedah yang mirip dengannya.

Bagaimanapun, berlainan dengan teori politik. Anda boleh mengubahnya mengikut sesuka hati. Teori itu akan dianggap betul jika ada pengikut bersetuju atau menyokongnya.

Teori politik boleh berubah-ubah mengikut sesuka hati. Satu teori politik yang diterima dan disokong pada hari ini, mungkin akan dianggap salah pada hari esok dan boleh terima kembali pada hari lusa.

Itulah sifat teori politik. Jadi, anda tidak perlu bersusah payah untuk mengatakan sesuatu politik itu betul atas salah. Terima sahaja apa yang secara umumnya diterima oleh majoriti.

Teori politik tidak mengambil pengajaran yang lalu. Teori politik tidak perlu buat perbandingan apa yang diucapkan dahalu. Yang penting ialah apa yang diucapkan sekarang.

Tegasnya, teori politik adalah apa yang berlaku semasa. Tiada teori politik yang boleh dijadikan rujukan sejarah.

Satu teori politik yang tidak berubah dalam sistem demokrasi ialah siapa mendapat undi terbanyak, maka dia akan diiystiharkan menang. 

Tidak kira siapa anda, jika undi yang diperoleh itu lebih banyak daripada lawan, maka anda dikira menang. 

Itu satu-satunya teori politik yang tidak pernah berubah dan boleh dipercayai sampai bila-bila selagi sistem demokrasi ditegakkan.

No comments:

Post a Comment