Wednesday 24 January 2018

PERATURAN PAKAIAN TUTUP AURAT

Peraturan berpakaian paling diutamakan ialah menutup aurat. Soal menutup aurat adalah perkara pokok dan bukan sekadar satu fesyen. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, konsep menutup aurat itu mesti dipatuhi.

Bahagian badan lelaki dikategori aurat dikhaskan antara pusat hingga lutut. Manakala aurat perempuan pula meliputi seluruh bahagian badan, kecuali muka dan tangan.

Bahagian aurat perempuan dijelaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Wahai Asma!  Seorang wanita itu apabila telah baligh, maka seluruh badannya tidak boleh dilihat melainkan ini dan ini (ditunjukkan bahagian muka dan tangan).” - (Hadis riwayat Abu Daud). 

Perbincangan mengenai menutup aurat sememangnnya lebih ditumpukan kepada wanita. Ini disebabkan kawasan aurat wanita lebih luas berbanding lelaki. Tambahan pula, wanita mempunyai sifat yang sukar difahami dalam soal berpakaian.

Menutup aurat bukan sekadar supaya tidak dapat dilihat, tetapi juga tidak memperlihatkan bentuk badan. Bentuk badan dapat dilihat jika memakai pakaian sendat dan jenis kain nipis atau melekat di badan.

Bentuk tubuh si pemakai akan jelas kelihatan di sebalik pakaian sendat dan nipis. Biarpun berpakaian, ia seperti berbogel.

Banyak orang menganggap berpakaian sendat dan mendedahkan aurat perkara kecil. Mereka berpendapat tidak ruginya berpakaian sedemikian, kerana itulah fesyen yang menarik perhatian khalayak.

Wanita memakai pakaian sendat dan seksi memang mempunyai niat untuk menarik perhatian lelaki. Semakin ramai lelaki memandang dan memuji, semakin timbul perasaan bangga dan terus memperaganya.

Sikap sedemikian lahir daripada hasutan syaitan. Syaitan mengambil kesempatan sikap manusia suka dipuji dan mendapat perhatian untuk mendorong melakukan perbuatan dosa dan kemusnahan lebih besar.

Daripada kajian mendapati kejadian jenayah seks banyak berpunca ‘godaan’ wanita berpakaian seksi. Didapati wanita mendedahkan aurat lebih kerap diganggu, dikhianati atau diusik oleh lelaki.

Sesungguhnya lelaki lebih mudah terdorong atau seperti tercabar apabila melihat wanita seksi. Lebih-lebih lagi lelaki mudah membuat tanggapan bahawa wanita bepakaian seksi seperti mempelawa lelaki melakukan perbuatan sumbang terhadapnya.

No comments:

Post a Comment