Wednesday 24 January 2018

Pakaian lahir dari tuntutan naluri

Pakaian adalah keperluan asas manusia yang lahir dari tuntutan naluri. Allah mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia hendak kepada pakaian. 

Justeru, manusia akan berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mencipta pakaian. Masyarakat primatif menggunakan kulit kayu, kulit binatang dan daun-daun untuk dijadikan pakaian.

Secara zahirnya pakaian adalah perhiasan, melindungi diri daripada pengaruh cuaca dan bahaya, identiti budaya dan seragam khas.

Sesungguhnya, pakaian adalah satu anugerah Allah kepada manusia. Biarpun pakaian itu direka oleh manusia, hakikatnya ia diturunkan oleh Allah kepada manusia.  

Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhiasan.” - (Surah al-Akraf, ayat 26).

Keinginan manusia berpakaian membuktikan kesempurnaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. 

Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” - (Surah at-Tin, ayat 4)

Keperluan pakaian bagi manusia dibahagikan kepada keperluan zahir dan keperluan batin. Konsep berpakaian mengikut keperluan zahir adalah sama bagi semua manusia tanpa mengira agama dan fahaman mereka. 

Sebagai agama lengkap dan sempurna, syariat Islam menetapkan pakaian bagi umatnya bukan sekadar keperluan zahir, tetapi lebih penting untuk batinnya. 

Sebab itu, Islam menetapkan garis panduan pakaian yang wajip dipatuhi oleh setiap orang beriman.

Sambungan dari surah al-Akraf, ayat 26 bermaksud: “Dan pakaian takwa itulah paling baik. Semua itu adalah antara sekian banyak tanda (kurniaan Allah), supaya mereka ingat (akan kurnia-Nya).”

Peraturan berpakaian paling diutamakan ialah menutup aurat. Soal menutup aurat adalah perkara pokok dan bukan sekadar satu fesyen. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, konsep menutup aurat itu mesti dipatuhi.

Bahagian badan lelaki dikategori aurat dikhaskan antara pusat hingga lutut. Manakala aurat perempuan pula meliputi seluruh bahagian badan, kecuali muka dan tangan.

Bahagian aurat perempuan dijelaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Wahai Asma!  Seorang wanita itu apabila telah baligh, maka seluruh badannya tidak boleh dilihat melainkan ini dan ini (ditunjukkan bahagian muka dan tangan).” - (Hadis riwayat Abu Daud). 

No comments:

Post a Comment