Tuesday, 4 April 2023

CARA MELATIH ANAK BERPUASA

 
Ada pepatah berbunyi: Meletur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah ini mengajar kita jika ingin mendidik anak, mesti bermula dari usia kanak-kanak lagi. Ini termasuk dalam pentarbiahan anak menjadi Muslim sejati.
 
Mendidik anak berpuasa adalah salah satu tugas ibu bapa. Walaupun puasa hanya diwajibkan ke atas individu telah baligh, latihan berpuasa perlu dimulai sejak kecil lagi. Latihan ini hanya sebulan dalam setahun.
 
Oleh itu, setiap kali Ramadan, latihan berpuasa untuk anak amat penting dan setahun demi setahun usia semakin meningkat yang mana tiba masanya mereka wajib berpuasa apabila baligh.  Perkara ini dilakukan secara konsisten setiap tahun. Setiap tahun mereka merasakan lebih mudah melaksanakan puasa disebabkan fizikal dan mental yang semakin dewasa, tetapi juga hasil latihan setiap tahun.    
 
Latihan berpuasa untuk anak sebenarnya bukan sekadar menahan diri daripada makan, tetapi memberitahu kepada mereka bahawa orang dewasa sedang berpuasa tidak boleh makan, minum dan perkara lain, juga sebahagian daripada latihan ‘berpuasa’ kepada kanak-kanak. 
 
Latihan itu boleh didedahkan kepada mereka sejak usia empat atau lima tahun. Ketika usia itu mereka sudah boleh memahami erti larangan itu. Pada usia itu, kanak-kanak sudah boleh diberitahu agar menghormati orang berpuasa dengan tidak makan di depan orang berpuasa.  Mungkin, pada masa itu mereka tidak menahan diri daripada makan dan minum.
 
Beritahu kepada anak, Allah benci orang yang tidak berpuasa makan depan orang berpuasa. Pengetahuan berkaitan agama seperti taat terhadap perintah Allah perlu disemai dalam kehidupan anak seawal mungkin.   
 
Biarpun ia nampak satu perkara remeh, asas didikan agama perlu dimulakan sejak awal lagi. Jika anak berusia dua atau tiga tahun sudah diajar A, B, C, mengapa pula soal-soal agama tidak didedahkan seawal mungkin. 
 
Masa terbaik bagi melatih kanak-kanak berpuasa dengan ertikata menahan diri daripada makan dan minum ialah usia enam atau tujuh tahun. Pada usia itu kanak-kanak sudah memasuki prasekolah dan mula hidup berdikari. Latihan melakukan ibadat biasa dimulakan pada usia itu, termasuklah menunaikan sembahyang. Tempoh latihan tiga hingga lima tahun sudah memdai sebelum mereka mencapai usia baligh.  
 
Namun, terdapat panduan yang sesuai diikuti agar latihan itu tidak mendatangkan keburukan kepada kanak-kanak dan ibu bapa sendiri. Sebenarnya dari segi fizikal, kanak-kanak agak lemah untuk menahan lapar dalam tempoh panjang. Kanak-kanak perlu makan dalam tempoh selang masa lebih singkat berbanding orang dewasa.
 
Berpuasa setengah hari atau mengikut kemampuan mereka adalah cara latihan berpuasa untuk tahun pertama. Mula-mula berpuasa hanya separuh hari saja dan kemudian diteruskan dalam tempoh lebih panjang.  
 
Ibu bapa, jangan mudah kasihan atau lembut hati terus membiarkan anak makan apabila mengadu lapar atau dahaga. Halang dulu atau tangguh untuk satu tempoh yang lebih panjang.  Pun begitu, jangan sampai ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan.    
 
Ada ibu bapa hanya melatih bersahur saja. Mereka diberikan satu gambaran bahawa orang berpuasa perlu bersahur pada awal pagi dan kemudian tidak makan sepanjang hari. Manakala pada waktu berbuka pula setelah mendengar azan Maghrib. 
 
Mengajak anak makan sahur bersama dan berbuka bersama juga adalah latihan berpuasa. Kanak-kanak perlu diterapkan dengan suasana melakukan ibadat biarpun belum melaksanakannya. Mereka akan lebih faham dan mudah menerimanya setelah biasa melakukannya.
 
Kanak-kanak terbiasa mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat akan turut bersemangat dan ghairah dalam diri mereka untuk turut sama menghidupkan amalan berpuasa. 
 
Malah, ada kanak-kanak bertanya mengenai amalan berpuasa kerana ingin mengetahui lebih lanjut. Peluang inilah sepatutnya digunakan oleh ibu bapa untuk menjelaskan lebih mendalam mengikut setakat kefahaman yang mampu diterima oleh kanak-kanak.
 
Malangnya, ada ibu bapa sengaja tidak mahu anak yang tidak berpuasa terlibat sama semasa bersahur dan berbuka dengan alasan ia menganggu. Ahi keluarga wanita yang datang haid juga sepatutnya bersama-sama dengan ahli keluarga lain ketika bersahur dan berbuka biarpun tidak berpuasa.
 
Segala keadaan ini perlu dijelaskan kepada kanak-kanak agar mereka mengerti mengenai amalan berpuasa. Setahun demi setahun kemudian mereka akan lebih mengerti erti puasa dan tiba masa turut melaksanakan ibadat agung ini.
 
Pepatah Arab berkata: "Pembentukan anak semasa kecilnya umpamanya memahat di atas batu.". Bukan senang untuk memahat batu, tetapi lama kelamaan batu akan pecah juga. 
 
Pada peringkat awal belajar berpuasa, konsep motivasi puasa biasa digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak berpuasa. Kaedah yang sering dilakukan ialah ‘upah’ berpuasa, selain kata-kata motivasi. 
 
Kejayaan berpuasa sekerat hari atau bilangan hari berjaya puasa penuh dikira menentukan ganjaran dijanjikan. Ganjaran itu dalam bentuk wang atau menunaikan permintaan mereka. 
 
Jenis ganjaran paling mudah ialah menyediakan hidangan berbuka dan bersahur mengikut permintaan mereka, jika keluarga mampu menyediakannya. Tunjukkan suasana kegembiraan dan bersyukur ketika berbuka puasa. Elok dijelaskan kepada mereka bahawa dua kegembiraan dinikmati oleh orang berpuasa ialah ketika berbuka dan balasan baik di akhirat nanti.
 
Malah ramai ibu bapa menggalakkan anak berpuasa dengan alasan hendak menyambut hari raya. Ugutan siapa tidak berpuasa tidak boleh memakai pakaian baru dan tidak boleh menyambut hari raya ‘menjadi’ sebagai satu motivasi kanak-kanak berpuasa.
 
Bagi menyakinkan kanak-kanak bahawa mereka boleh berpuasa seperti orang dewasa, ibu bapa dan ahli keluarga perlu memberi galakan, motivasi diri dan keyakinan. Bantu mereka menghadapi saat rasa lapar dan dahaga. Beri perhatian kepada mereka dengan melakukan aktiviti bersama atau pujuk mereka agar tidur kerana itu dapat menahan rasa lapar dan dahaga.
 
Seorang ibu pada zaman Rasulullah yang bernama Ar-Rubayyie binti Muawwiz memberitahu: "Ketika bulan Ramadan, anak-anak kecil kami turut sama dididik berpuasa. Apabila ke masjid (untuk menunaikan sembahyang fardu) bersama mereka, kamu menyediakan untuk mereka permainan (yang diperbuat) daripada benang. Apabila salah seorang mereka menangis kerana lapar berpuasa, kami berikan permainan itu agar mereka leka sehinggalah tiba waktu berbuka." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Untuk membantu kekuatan kanak-kanak berpuasa, berikan gambaran kepada mereka tentang nasib yang menimpa kanak-kanak di negara lain (melalui gambar atau siaran televisyen) yang melarat dan tidak mempunyai sumber makanan yang cukup. 
 
Kanak-kanak miskim bukan saja tidak makan dan minum pada waktu siang, tetapi berhari-hari.  Jadi, berpuasa hanya satu ujian kecil saja berbanding rakan mereka yang kebuluran di luar negara.
 
Cara itu dapat menanam sifat prihatin terhadap penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Ia secara tidak langsung menanam sikap bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki.   
 
Ibadat puasa walaupun secara praktikalnya amat sukar, tetapi dalam keluarga yang mementingkan perlaksanaan ibadat, anak berusia tujuh tahun sudah ada mampu berpuasa penuh sebulan atau hanya tinggal puasa beberapa hari. Kejayaan itu hasil latihan awal yang dilakukan ibu bapa.
 
Orang dewasa yang tidak berpuasa, biarpun apa alasan sekalipun, termasuk wanita yang datang bulan, tidak wajar makan di hadapan kanak-kanak dalam bulan puasa. Kanak-kanak sebenarnya masih sukar untuk memahami alasan-alasan yang diberikan. 
 
Semangat kanak-kanak melakukan ibadat puasa sebenarnya lahir seiringan dengan kepatuhan terhadap perintah-perintah lain. Konsep takwa juga jelas lahir dalam diri kanak-kanak yang menunaikan puasa.  Mereka tidak menipu ibu bapa dengan makan secara sembunyi-sembunyi.
 
Ibu bapa juga penting memahamkan anak-anak tentang roh berpuasa dengan memberi penjelasan bahawa ibadat itu bukan bertujuan mendera atau menyusahkan, tetapi satu amalan yang mempunyai banyak keistimewaan yang hanya dirasai jika kita melakukannya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. 
 
Kehidupan anak dipengaruhi cara mana ibu bapa mendidik mereka. Anak yang mendapat didikan agama yang sempurna akan membesar sebagai insan beriman dan bertakwa. Keyakinan mereka terhadap perintah Allah diasuh menjadi kental sejak kecil hingga menuju alam dewasa dan kekal ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment