Apabila masuk sahaja bulan Muharram, amalan masyarakat Melayu ialah masak bubur Asyura. Orang Kelantan memanggilnya suro atau sura. Di Kelantan tidak dinamakan bubur kerana dimasak kering sehingga keras apabila sejuk.
Bubur asyura setiap negeri memang berbeza. Paling
ketara cara memasaknya. Kalau di Kelantan, masa memasakkan boleh mencapai
sehingga melebihi 8 jam bermula dari memanaskan air dan diangkat sepenuhnya. Tetapi
sekarang ini ada yang telah mengangkatnya setelah 5 atau 6 jam kerana banyak
bahan kini dimasak atau dikisar dahulu sebelum dicampurkan atau dimasak di
dalam kawah.
Sejarah bubur Asyura dikaitkan dengan kisah
bahtera Nabi Nuh yang berlabuh di atas Bukit Judiy pada Hari Asyura. Maka
berkata Nabi Nuh kepada kaumnya: "Himpunkan apa yang kamu miliki
daripada makanan yang lebih-lebih"
Maka dibawalah satu genggam daripada kacang baqila iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas (macam kacang dhal), baruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh jenis biji-bijian yang
dimasak.
Kemudian Nabi Nuh berkata,
"Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang"
Kisah ini diriwayatkan dalam kitab
Nihayatuz Zain karangan Syeikh Nawawi Al-Bantani, kitab Nuzhatul Majalis
karangan Syeikh Abdul Rahman Al-Ushfuri dan kitab Jam’ul Fawaid karangan Syeikh
Daud Al-Fathani.
Syeikh Nawawi Al-Bantani dan Syeikh Daud
Al-Fathani adalah ulama Nusantara yang terkenal dan masyhur pada masa dahulu.
Kisah di atas diriwayatkan tanpa rantaian
sanad. Dengan itu, kisah Nabi Nuh ini berstatus kisah atau cerita dan tidak
boleh dijadikan sandaran hukum. Bubur asyura juga tidak sepatutnya dikaitkan
dengan kisah Nabi Nuh walaupun kisah itu yang popular dalam masyarakat.
Bubur asyura juga dikaitkan dengan hadis
Nabi SAW daripada Abu Hurairah dan Abu Said Al- Khudri seperti berikut: "Sesiapa
memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura maka Allah akan memberi
keluasan kepadanya sepanjang tahun itu".
"Memberi keluasan" dalam hadis
ini ialah bersedekah atau berbelanja. Masak bubur asyura termasuk dalam
pengertian bersedekah apabila ia diagih-agihkan kepada orang ramai.
Ulama menjelaskan darjat hadis ini iaitu
palsu atau daif sebagaimana disebut oleh Ibnu Jauzi, Ibnu Qayyim dan Imam
Al-Syaukani.
Walau bagaimanapun Imam Baihaqi menyebut,
"Sanad-sanad hadis ini meskipun lemah namun jika digabungkan menjadi
kuat." Mulla Al-Qari dan Hafiz Al-Iraqi turut berpandangan demikian.
Hafiz Siddiq Al-Ghumari menulis sebuah
risalah dan menghukum hadis itu sebagai sahih. Beliau juga menolak hujah-hujah
pihak yang mengatakan hadis itu palsu atau daif. Sila rujuk risalah beliau
Hidayah Al-Sughra' bitashih Hadith Tausi'ah Yaum 'Asyura'.
Mungkin sebab itu, majoriti ulama daripada
mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan sepakat mengatakan bahawa
disunatkan bersedekah pada Hari Asyura. Sila rujuk kitab Al-Mausu'ah Al-Fiqhiah
Al-Kuwaitiah.
Isu berkaitan membuat bubur asyura ini
perlu dilihat dari sudut luas. Pertamanya dibolehkan kita membuatnya selagi
tidak meletakkan ia sebagai wajib. Ia adalah amalan budaya masyarakat Melayu
dan mungkin masyarakat lain dalam bulan Muharam yang dianggap sebagai bulan
yang mulia dalam Islam.
Sesuatu amalan budaya yang diniatkan kerana
melakukan kebaikan dan memahami perkara yang mendatangkan kebaikan adalah
disuruh oleh Allah, maka diharapkan amalan itu mendapat ganjaran pahala biarpun
ia asalnya dilihat sebagai adat atau budaya.
Malah sesuatu adat atau urf diterima
sebagai satu hukum selagi ia tidak bertentangan dengan perkara asas yang telah
disepakati ada nas jelas mengenainya.
Tambahan, tidak ada yang mengatakan mesti
buat bubur asyura pada bulan Muharam dan haram dibuat pada bulan-bulan lain. Bahkan
sekarang ini ada pengusaha yang membuat suro untuk dijual pada bulan-bulan
lain. Di Kelantan, suro adalah identiti yang dibanggakan.
Masak suro dilihat sebagai program
kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan persaudaraan. Ia dilakukan secara
gotong-royong kerana melibatkan masa mengacau yang agak lama sehingg mencapai 8
jam. Banyak tenaga diperlukan dan melibatkan bilangan orang yang banyak.
Mereka berkumpul dan bersilaturahim,
bersama-sama melakukan matlamat yang sama iaitu memasak suro sehingga masak
biarpun mengambil masa yang lama.
Sebenarnya memasak suro bukan sekadar
mengambil masa 8 jam, bahkan lebih daripada itu kerana perlu membuat persediaan
bahan-bahan yang hendak digunakan, persiapan peralatan dan sebagainya.
Sebab itu hendak memasak sekawah suro perlu
gabungan atau kerjasama dua atau tiga keluarga melakukan bersama-sama. Jadi, ia
jelas menampakkan kerjasama dan saling membantu seperti yang dituntut oleh
agama.
Selepas suro masak dan disejukkan, ia akan
dipotong mengikut ukuran tertentu untuk diagih-agihkan kepada jiran tetanggan
dan kenalan. Ia tanda bersyukur dan persaudaraan yang terbina melalui majlis
kacau suro. Malah, adakalanya majlis tersebut turut dihadiri bukan Islam yang turut
membantu.
Jika ada orang mendakwa bubur asyura ada
kaitan dengan Syiah. Sebenarnya amalan masyarakat Melayu berbeza dengan orang
Syiah yang meratapi dan menyiksa diri kerana memperingati kematian Saidina
Husain.
Sedangkan masyarakat Melayu masak bubur asyura kerana gembira dengan kedatangan bulan Muharram dan peristiwa Hijrah.
No comments:
Post a Comment