Monday, 7 December 2020

GUNA ATAP DAUN NIPAH SEBAGAI TARIKAN

Atap nipah merupakan sejenis atap sesuatu binaan yang diperbuat daripada daun pokok nipah. Penggunaan atap daun nipah banyak digunakan pada masa masa dahulu, selain atap bata.

Pada asasnya atap nipah terdiri daripada "tulang" atau dikenali sebagai "bengkawan", yang diperbuat daripada buluh yang dibelah berukuran kira-kira kira-kira 2cm x 2cm. Sekarang ini, bilah buluh akan direndam di dalam larutan kimia untuk mengelak ia cepat rosak.

Selain bilah buluh, batang kayu kecil juga digunakan sebagai tulang atap nipah.

Daun nipah yang ingin dijadikan atap nipah perlu betul-betul tua kerana lebih tahan. Selain itu, ukuran daun nipah yang dipilih perlu panjang agar ‘sayap’ yang dibuat nanti cukup panjang.

Daun nipah akan dilipat sama panjang sebagai ‘sayap’ dan diletakkan di tulang bilah buluh. Daun nipah yang disusun rapat itu kemudian akan dijahit dengan menggunakan rotan ataupun kulit pokok bemban untuk mengikatnya.

Pada masa kini, kerana sukar untuk mendapatkan bahan tersebut tali plastik atau nilon digunakan bagi menyemat atau menjahit atap.

Setiap atap nipah biasanya mempunyai panjang tulang bilah kira-kira 1.5 meter hingga 1.8 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap yang dihasilkan.

Bagi menambahkan ketahanan daun nipah yang akan dijadikan atap, daun nipah perlu direndam di dalam air sungai selama sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu sebelum disusun untuk dijadikan atap.

Atap nipah agak cepat rosak dan perlu diganti setiap lima hingga 10 tahun. Bagaimanapun bagi kerosakan kecil, cuma kepingan atap yang rosak perlu diganti dengan cara disisip antara kepingan yang rosak.

Atap nipah memiliki kelebihan kerana ia lebih sejuk kerana ia tidak menyimpan haba.

Selain dijadikan atap, daun nipah yang dijahit itu juga dijadikan sebagai ‘dinding’ atau penghadang pandangan serta tiupan angin. Konsep ini banyak digunakan terutama untuk membina bangsal kecil, yang mana boleh dikatakan keseluruhan ‘penutup’ bangsal menggunakan atap nipah, kecuali lantai.

Sekarang ini penggunaan daun nipah biarpun kurang mendapat permintaan untuk atap rumah kediaman, tetapi ia masih digunakan untuk bangsal atau tempat berteduh bangunan kecil seperti gerai makan, wakaf di laman rumah dan sebagainya.

Penggunaan atap nipah dianggap unik dan menjadi daya penarik yang melambangkan sifat tradisional.

No comments:

Post a Comment