Pakaian adalah keperluan
asas manusia yang lahir dari tuntutan naluri. Allah mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia hendak kepada
pakaian.
Justeru, manusia akan
berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mencipta pakaian. Masyarakat primatif menggunakan kulit kayu,
kulit binatang dan daun-daun untuk dijadikan pakaian.
Secara zahirnya
pakaian adalah perhiasan, melindungi diri daripada pengaruh cuaca dan bahaya,
identiti budaya dan seragam khas.
Sesungguhnya, pakaian
adalah satu anugerah Allah kepada manusia. Biarpun pakaian itu direka oleh manusia, hakikatnya ia diturunkan oleh
Allah kepada manusia.
Firman Allah
bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya
Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk
perhiasan.” - (Surah al-Akraf, ayat 26).
Keinginan manusia
berpakaian membuktikan kesempurnaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia dijadikan oleh Allah dengan
sebaik-baik kejadian.
Allah menjelaskan
dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia dalam
bentuk sebaik-baiknya.” - (Surah at-Tin, ayat 4)
Keperluan pakaian
bagi manusia dibahagikan kepada keperluan zahir dan keperluan batin. Konsep berpakaian mengikut keperluan zahir
adalah sama bagi semua manusia tanpa mengira agama dan fahaman mereka.
Sebagai agama lengkap
dan sempurna, syariat Islam menetapkan pakaian bagi umatnya bukan sekadar keperluan
zahir, tetapi lebih penting untuk batinnya.
Sebab itu, Islam
menetapkan garis panduan pakaian yang wajip dipatuhi oleh setiap orang beriman.
Sambungan dari surah
al-Akraf, ayat 26 bermaksud: “Dan pakaian takwa itulah paling baik. Semua itu adalah antara sekian banyak tanda
(kurniaan Allah), supaya mereka ingat (akan kurnia-Nya).”
Peraturan berpakaian
paling diutamakan ialah menutup aurat. Soal menutup aurat adalah perkara pokok
dan bukan sekadar satu fesyen. Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, konsep
menutup aurat itu mesti dipatuhi.
Bahagian badan lelaki
dikategori aurat dikhaskan antara pusat hingga lutut. Manakala aurat perempuan pula meliputi
seluruh bahagian badan, kecuali muka dan tangan.
Bahagian aurat
perempuan dijelaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Wahai Asma! Seorang wanita itu apabila telah baligh, maka
seluruh badannya tidak boleh dilihat melainkan ini dan ini (ditunjukkan
bahagian muka dan tangan).” - (Hadis riwayat Abu Daud).
No comments:
Post a Comment