Thursday 17 June 2021

DISIPLIN CARA MEMAJUKAN DIRI

Disiplin diri adalah satu mekanisme memajukan diri yang wajar diberi perhatian. Tentunya ia bukan ubat bagi segala masalah yang ada pada setiap orang. Namun, cabaran-cabaran dalam mendisiplinkan diri, jika dapat diatasi, bakal menjadi pendorong kepada usaha meningkatkan kualiti diri.

Disiplin diri dapat memperkasa sebarang kelemahan diri. Ia dapat menekan sifat malas, membazir masa dan tidak peduli. Tambahan pula, jika digabungkan dengan sifat sabar, berorientasi matlamat dan perancangan, kombinasi sifat-sifat ini dengan disiplin diri akan memzahirkan individu yang serba-serbinya hebat.

Bergantung kepada diri sendiri, azam hanya akan digerakkan apabila kita mengangkat kaki dan menghayunkan tangan untuk melaksanakannya. Azam akan layu jika punggung kita berada kukuh di atas pangkin kerana tidak mungkin kejayaan dizahirkan tanpa berbuat apa-apa.

Berusahalah untuk memperoleh apa yang telah kita azamkan dan kita impikan. Pada masa yang sama, teruskan usaha untuk menjayakan impian lama yang belum tercapai. Tidak tepat jika ada pihak mengatakan kita tidak boleh membuat impian baru selagi impian lama tidak tercapai. Jika itulah keadaannya, bermakna kita tidak akan berubaha selagi azam lama tidak tercapai. 

Jangan biarkan azam lama menjadi penghalang kepada azam baru. Lainlah jika azam lama itu mempunyai kaitan dengan tampoh masa yang sudah berlalu atau keadaan yang tidak membolehkan azam itu ditunaikan.  

Kita perlu berusaha untuk melakukan yang terbaik ketika masa dan peluang masih ada. Usah bertangguh lagi. Anggaplah inilah peluang terakhir untuk kita melakukan apa yang diingini. 
 
Ingatlah, permulaan kejayaan dalam setiap usaha adalah bermula kejayaan berfikir bahawa kita akan mendapat kejayaan. Sikap ragu dan tidak yakin kepada keupayaan diri akan membawa kepada kegagalan.  

Sebenarnya kita akan melakukan apa yang kita percaya dan yakin. Jika dalam diri sendiri ada keraguan, maka segala tindakan dan usaha yang akan dilakukan juga tidak akan berjaya. Fikir dan usahalah bahawa kita akan berjaya.   

Jagalah harga diri dan elakkan terpengaruh dengan agenda tidak baik pihak yang hilang maruah sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita masing-masing.  

 

No comments:

Post a Comment