Tuesday 4 May 2021

BERHATI-HATI PENIPUAN ‘LOVE SCAM’

Kajian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati trend kes penipuan cinta atau 'Love Scam' menunjukkan peningkatan dalam tempoh tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2019, sebanyak 1,535 kes penipuan Love Scam dilaporkan membabitkan kerugian RM79.11 juta.

Jumlah kes meningkat 47 kes pada tahun 2020 kepada 1,582 kes dengan jumlah kerugian RM58.33 juta.

Trend peningkatan ini sebagai situasi yang perlu ditangani secara serius, memerlukan tindakan pembanterasan dan pencegahan lebih efektif.

Pihak polis komited untuk melipat gandakan usaha khususnya daripada aspek siasatan dan operasi bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sebegini.

Statistik polis menunjukkan sejak tahun 2019 hingga Mac 2021, sebanyak 2,251 operasi dilaksanakan dan daripada jumlah itu, seramai 2,826 orang berjaya ditahan.

Bagaimanapun, di sebalik operasi dan tangkapan dilaksanakan secara berterusan polis, rangkaian sindiket ini dipercayai terus merekrut ahli baharu bagi memastikan kesinambungan kegiatan mereka.

Justeru, masyarakat diminta lebih berwaspada dan mengambil tahu tips pencegahan supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan sindiket sedemikian.

Jangan mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan digunakan di media sosial dan jangan mudah terpedaya dengan kata manis atau janji mereka.

Selain itu, perlu berhati-hati memilih rakan melalui media sosial atau alam maya terutamanya yang kononnya berasal dari luar negara.

Selain itu, orang ramai diingatkan tidak mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu tidak dikenali atau baru dikenali di internet.

Jangan sewenang-wenangnya memberi pinjaman atau memasukkan wang ke akaun peribadi individu tidak dikenali sekiranya diminta kenalan laman sosial melalui telefon, SMS dan emel.

Penipuan cinta atau Love Scam adalah modus operandi yang kerap digunakan sindiket penipuan didalangi warga Afrika untuk memperdaya mangsa berbanding sindiket penipuan lain.

Penipuan menggunakan modus operandi itu paling kerap digunakan kerana 'kaedah' itu dipercayai amat berkesan untuk memerangkap dan memperdaya mangsa.

No comments:

Post a Comment