Wednesday 24 January 2018

JANGAN PANDANG MUDAH SOAL TUTUP AURAT

Umat Islam tidak harus memandang mudah soal menutup aurat. Jangan ambil mudah kepada perkara dianggap kecil (sebenarnya soal menutup aurat perkara besar) kerana perkara kecil sering mendatangkan bencana besar.

Sesungguhnya syaitan menyedari amat sukar untuk menyesatkan manusia dalam perkara besar. Maka diambil kesempatan mempengaruhi dalam perkara kecil kerana kesannya kelak merebak besar dan tercapai juga maksud syaitan itu.

Rasulullah SAW memberi peringatan agar lelaki lebih berhati-hati dengan godaan wanita yang digunakan oleh syaitan untuk merosakkan manusia.

Sesiapa yang meningggalkan atau mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan syaitan, nescaya akan menikmati kemanisan iman yang sebenar.

Fesyen mendedahkan aurat banyak dicipta dan dipakai oleh masyarakat Barat. Para pelakon dan medel Barat gemar memakai pakaian mendedahkan aurat sebagai memenuhi citarasa semasa.

Disebabkan ramai mudah terpengaruh dengan apa yang dicipta di Barat, maka budaya fesyen mendedah aurat merebak ke seluruh dunia, termasuk di negara-negara Islam.

Fesyen pakaian Barat mencerminkan ciri-ciri menjurus kepada kehidupan masyarakat tidak bertamadun.

Peraturan menutup aurat ditekankan kepada wanita bertujuan melindungi wanita daripada angkara sikap lelaki buas dan tidak bersopan. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri kamu, puteri-puteri kamu dan kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menutup kepala sehingga menutup dada mereka. Semoga dengan itu mereka mudah dikenali (bahawa mereka wanita mulia) supaya tidak akan diganggu (lelaki tidak sopan).” - (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Wanita menutup aurat dikenali beriman dan bersopan santun. Pengenalan ini mematahkan cita-cita lelaki yang mempunyai niat buruk kerana merasa sukar untuk mengajak melakukan perkara ditegah syariat. Justeru, yang demikian itu mengelak wanita daripada dianiaya.

Jelaslah peraturan itu bukan mengokong atau diskriminasi terhadap wanita. Memang banyak perkara tidak disukai manusia, sebenarnya mempunyai kebaikan di sebaliknya.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 19 bermaksud: “Kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak.”

No comments:

Post a Comment