Thursday, 3 November 2016

ADAB BERTANDANG

Islam menggariskan beberapa peraturan hidup berjiran dan bermasyarakat.  Antara perkara yang ditekankan ialah adab bertamu.  Rumah adalah kawasan peribadi pemilik dan ahli keluarga yang tinggal di dalamnya. 

Individu lain tidak berhak memasuki sesebuah buah jika pemiliknya menghalangnya.  Kecuali ada keperluan ‘darurat’ yang berkaitan keselamatan dan mencari bukti keadilan.  Dalam istilah undang-undang, perbuatan itu hanya dapat dilakukan dengan waren geledah atas kebenaran pihak mahkamah atau pihak yang diberi kuasa meluluskan.     

Dalam Islam, peraturan menghormati kuasa tuan rumah telah tercatat di dalam al-Quran.  Ini membuktikan satu peraturan hidup penting yang mesti dipatuhi setiap individu muslim. 

Allah berfirman bermaksud: “Hai orang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu ingat.” (Surah an-Nur ayat 27).

Sambungan dalam surah yang sama, menjelaskan kita perlu meninggalkan rumah yang dikunjungi jika pemiliknya tidak mahu menerima tetamu.  Kita tidak perlu mempersoalkan tindakan pemiliknya.  Perbuatan itu (meninggalkan rumah) adalah lebih baik, kerana banyak hikmah di sebaliknya. 

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seseorang pun dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepadamu: “Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali.  Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 28).

Sikap toleransi terhadap jiran bukan Islam penting kerana ia juga sebahgaian daripada dakwah.  Tindakan itu memberi imej baik berkaitan Islam.  Ia dapat mengelak provokasi atau tindakan menghina daripada penganut agama lain.  

Jiran tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.

Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Fenomena yang berlaku dalam kejiranan sekarang banyak buruknya.  Pertama, kita hilang nikmat hubungan kejiranan.  Kita akan merasakan seperti hidup di dalam penjara di rumah sendiri.  Gaya hidup ini mengapa berlakunya tekanan dalam hidup.  Keluarga dan jiran-jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri untuk berdepan dengan suasana lebih luas.

Kurangnya interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jatidiri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik.  Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup.  Paling ketara berlaku kepada anak-anak di mana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. 

Kita perlu kepada fitrah manusia yang perlu wujud hubungan dengan individu atau keluarga lain.  Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.

Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.  Ia mesti dijadikan amalan berterusan.  Ajaran Islam sesuai diamalkan dalam semua masyarakat, masa dan tempat sehingga hari kiamat.

Peraturan berjiran ini memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit yang biasa timbul dalam masyarakat.  Tidak akan berlaku perkara buruk jika peraturan ditetapkan agama dipatuhi.

Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran.  Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid.  Masih banyak perkara lain perlu dijadikan ukuran.  

Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.”



No comments:

Post a Comment