Thursday 3 November 2016

KESAN BURUK SIKAP PERKAUMAN

Malaysia negara berbilang kaum dan agama anutan.  Maka, sikap saling menghormati penting diamalkan bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara berkekalan.  Tidak dinafikan setiap kaum dan penganut agama akan berusaha untuk mempertahankan hak dan keistimewaan masing-masing.

Namun, perkara paling penting yang perlu diingatkan tidak mengamalkan sikap keterlaluan dan budaya assabiyyah.  Rakyat sebaliknya perlu memahami konsep "penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan hidup.  Sesungguhnya, apa yang diamalkan oleh rakyat di negara kita boleh dianggap terbaik dan perlu dikekalkan.

Kita perlu mengakui amalan bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara adalah tonggak kepada kemakmuran dan  kesejehteraan yang dinikmati hari ini.

Pun begitu, kita sentiasa berdepan dengan ancaman pihak tertentu yang seperti sengaja mencipta sesuatu yang boleh menghncurkan apa yang kita nikmati sekarang ini.  Antara cubaan pihak berniat jahat ialah cuba menghakis semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat. 

Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan, sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara.  Negara akan hancur jika rakyat sendiri melakukan perkara atau perbuatan yang mencetuskan keadaan huru hara dan perasaan sangsi sesama sendiri.

Perkara utama perlu disemai di setiap sanubari rakyat ialah apa saja yang dilakukan perlulah mencerminkan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya. Kita perlu peka kepada sebarang perkara yang berlaku dalam negara untuk dijadikan pengajaran agar tidak berlaku perkara boleh mencetuskan kesan tidak baik.

Kita perlu sedar, sejak kebelakangan ini sering timbul isu yang jika tidak ditangani dengan bijak akan merebak menjadi satu tragedi buruk.  Isu-isu berkaitan kaum dan agama tidak boleh danggap isu remeh dan dipandang sebelah mata.

Isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup seperti LGBT, penggunaan kalimah Allah,  penghinaan terhadap institusi agama dan Raja serta tuntutan isu berkaitan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara.

Masyarakat kita dikelirukan dengan pelbagai kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan.  Perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana akhirnya ia akan menghancurkan apa yang kita ada selama ini.

No comments:

Post a Comment