Kejatuhan kerajaan, empayar dan dinasti silam antara lainnya
berpunca daripada keengganan kelompok memimpin (tidak kira yang memerintah atau
tidak) untuk berlapang dada, berjiwa besar mendengar saranan, nasihat, teguran,
teguran ikhlas yang diberikan ilmuwan, cendikiawan dan sarjana yang jujur.
Islam bukan sahaja menganjurkan agar pemimpin sentiasa
berjiwa besar dan terbuka menerima teguran, bahkan mempelawa dan mengalu-alukan
orang lain memberikan pandangan bermanfaat seperti ditunjukkan Umar apabila
dilantik sebagai khalifah.
Sayidina Umar Al-Khattab dilantik menjadi khalifah, beliau
dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata:
"Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka
luruskanlah ia."
Maka, bangkit seorang lelaki Arab Badwi berkata dengan berani: "Demi Allah
wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan
luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini."
Lalu Umar menjawab: "Alhamdulillah, segala puji bagi
Allah SWT yang menjadikan dalam kalangan umat Muhammad, mereka yang sanggup
meluruskan Umar dengan pedangnya."
Sikap Umar itu suatu kesediaan dan pelawaan jelas untuk
'dikritik' serta sebagai proses muhasabah dalam pemerintahan Islam.
Ajaran Islam mewajibkan pemimpin dilantik memimpin umat
Islam agar mendengar sesiapa mengkritik dan berlapang dada (menerima kritikan)
seperti diperintahkan untuk akur dengan kritikan berkenaan sekiranya bertepatan
dengan hukum Islam.
Islam juga melarang daripada mengenakan apa jua hukuman yang
boleh menyakiti mereka yang mengkritik, sekalipun kritikan itu kata-kata keras
dan tajam.
Malang sekali apa yang berlaku sekarang apabila wujud dua
golongan, berpihak kepada pemerintah dan lagi pembangkang. Pihak pembangkang
akan senantiasa hanya membangkang, membantah dan menentang apa sahaja datang
daripada pemerintah hanya kerana mereka bukan daripada kelompok pemerintah dan
begitulah sebaliknya.
Keadaan itu berlaku tanpa melihat terlebih dahulu tindakan,
usul atau usaha itu sebenarnya membawa kebaikan dan mengelak kemudaratan.
Perkara ini dilakukan demi survival kelompok masing-masing dan bukannya
bertujuan kebenaran.
Semasa menjadi pembangkang, semua dibangkang dan ditentang.
Apabila menjadi kerajaan, maka semua dibolehkan dan begitulah sebaliknya.
Baca juga;