Saturday, 12 April 2025

SEJARAH AWAL KERETA API DI TANAH MELAYU

 
Pada 1 Jun 1885, laluan kereta api pertama di Tanah Melayu dibuka, menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang).
 
Kerja-kerja pembinaannya bermula pada 1881 dibiayai oleh kerajaan British Perak dengan kos keseluruhan $7,000. Ia sepanjang 13.28 kilometer, dibina untuk mengangkut bijih timah dari lombong-lombong di Taiping ke pekan pelabuhan Port Weld.
 
Pembinaannya berdepan cabaran antaranya peruntukan tidak mencukupi serta keadaan muka bumi yang berpaya dan terpaksa ditambak dengan tanah yang diangkut dari Taiping. Apabila siap, ia dirasmikan oleh Residen British Perak ke-4, Hugh Low.
 
Kemudian beberapa laluan dibina di serata Tanah Melayu. Menjelang hujung kurun ke-19, sekurang-kurangnya ada 6 laluan berasingan antaranya di Muar, Selangor (Klang-KL), Sungai Ujong (Seremban-P.Dickson), Province Wellesley (Prai-B.Mertajam) dan Singapura.
 
Pada 1901, semua perkhidmatan kereta api digabungkan di bawah satu pentadbiran iaitu Kereta Api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (KNMB). Sistem kereta api di Negeri-Negeri Selat (Melaka dan Singapura) diserap masuk ke dalam gabungan itu pada 1905.
 
Ketika pendudukan Jepun, banyak laluan cawangan kecil ditutup dan dibongkar untuk digunakan untuk pembinaan laluan kereta api Siam-Burma. Selepas perang, laluan yang terputus dibaiki semula dan KNMB ditukar nama kepada Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada 1948.
 
Lokomotif diesel elektrik mula digunakan pada Julai 1957 menggantikan lokomotif wap  secara beransur hingga yang terakhir beroperasi pada 1974. Pada 1972, laluan bersejarah Taiping-Port Weld ditutup apabila laluan baharu dibina.
 
Apabila Akta Kereta Api 1991 diluluskan sebagai langkah mengkorporatkan perkhidmatan kereta api di negara ini, KTM mula dikenali secara rasmi sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 1 Ogos 1992.
 
Sumber: Arkib Negara Malaysia, KTMB

No comments:

Post a Comment