Setelah meletusnya konflik ketenteraan antara China dan Vietnam
pada Januari 1974 di Gugusan Paracels, kerajaan China telah secara
terang-terangan menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai perairan yang
berada di bawah takluk dan penguasaannya.
Vietnam pula bertegas mempertahankan Gugusan Paracels dengan alasan
gugusan tersebut telah berkurun-kurun di bawah kedaulatannya.
Konflik ini secara langsung telah membuka mata negara lain yang
bersempadan Laut China Selatan untuk membuat tuntutan dan penempatan
di terumbu berkenaan termasuklah Malaysia.
Filipina membuat petempatan di Terumbu Laksamana yang terletak hanya 26 batu
nautika timur laut Terumbu Peninjau dan petempatan Vietnam di Terumbu Perahu
yang terletak hanya 35 batu nautika barat laut Terumbu Mantanani.
Berikutan pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
Malaysia pada 20 September 1979, kabinet telah mengarahkan agar kajian
dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu
karang yang berada dalam lingkungan ZEE Malaysia bagi mengukuhkan tuntutan
Malaysia di Kepulauan Spratly.
Melalui arahan kabinet itu, kajian terperinci telah dilakukan oleh Rejimen Asjar
Jurutera Diraja (RAJD). Kajian mendapati hanya beberapa terumbu yang sesuai
untuk dijadikan petempatan.
Bermula 21 Jun 1980, satu tugu pertama dibina. Ia menjadi sejarah bermulanya
pembinaan Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Terumbu
Layang-Layang, yang kemudian dikenali Pulau Layang-layang.
Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika dari Kota Kinabalu
merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.
Empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani,
Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.
Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) menghantar anggota daripada Rejimen Gerak Khas (RGK)
untuk menduduki Terumbu Layang-layang sebagai tanda penguasaan secara
mutlak.
Kumpulan pertama seramai 11 anggota mendarat dan
menduduki Terumbu Layang-layang secara tetap pada awal Mei 1983,
tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.
Pada penghujung tahun 1989 dan memasuki tahun 1990-an keluasan Stesen Lima TLDM
bertambah setelah ditambak sepenuhnya secara berperingkat menggunakan tanah,
pasir, konkrit dan lain-lain yang diangkut dari Sabah, manakala modul Stesen
Lima TLDM ditunda dari Semenanjung.
Pada tahun 1990-an juga kerja-kerja pembinaan infrastruktur penting seperti
pembangunan penempatan anggota, bilik jana kuasa, dua lot hangar, stesen radar,
menara peninjau dan persenjataan Bofor 40 mm.
Turut dibina ialah landasan terbang konkrit Stesen Lima sepanjang
1,067 meter antara tahun 1991 hingga 1995. Kesemua projek dibiayai Kerajaan
Malaysia pada waktu itu sebagai suatu rangka pelan pertahanan dan industri
pelancongan Malaysia.
Kemudian pada tahun 2001 landasan terbang Stesen Lima dinaik taraf dan
dipanjangkan kepada 1,367 meter dan 28 meter lebar. Kerja-kerja pembesaran
landasan terbang dijalankan Syarikat tempatan Sin Matu Sdn. Bhd. dan siap
sepenuhnya pada tahun 2003.
Nombor pengklasifasian landasan terbang adalah 032RBXU, menunjukkan landasan
terbang adalah sederhana kukuh pembuatannya terhadap pengolahan maksimum
tekanan tayar pesawat.
Selain untuk tujuan pertahanan, Stesen Lima kini menjadi lokasi tumpuan
pelancong atau kawasan ekopelancongan yang semakin mendapat sambutan pelancong
dari dalam negara mahupun luar negara.
Baca juga;



No comments:
Post a Comment