Wednesday, 15 January 2020

APAKAH HUKUM MENYAPU MUKA SELESAI BERDOA

Salah satu amalan dan kebiasaannya dalam masyarakat kita ialah mengusap (menyapu) muka setiap kali selesai berdoa sebagai penutup doa dan mungkin untuk mendapat berkat dari doa tersebut.

Sebenarnya perbuatan tersebut tidak mempunyai asas dari syarak dan tiada nas yang boleh dijadikan hujah, kerana semua hadis yang menunjukkan menyapu muka setelah selesai berdoa keseluruhannya lemah belaka.

Antara hadis tersebut bermaksud: “Dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi dari Ibnu Abbas berkata: Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah, maka mintalah dengan telapak tangan kamu, jangan memintanya dengan belakangnya. Dan sapulah dengannya muka kamu”. (Hadis riwayat Thabrani)

Hadis lain bermaksud: “Dari Soleh bin Hassan al-Ansari, dari Muhammad bin Ka’ab al-Qardzi dari Ibn Abbas, beliau berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Jika engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan telapak tanganmu, janganlah berdoa dengan kedua-dua belakangnya. Maka setelah selesai, sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dalam Sunan. 1/373. Hadis No. 1181)

Kedua-dua hadis di atas ini adalah sangat lemah kerana pada sanadnya terdapat perawai yang lemah sebagaimana dapat diketahui dari penjelasan di bawah ini:

Dalam az-Zawaid dinyatakan: Isnad hadis ini lemah. Ia dilemahkan kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan. (Lihat: Sunan Ibn Majah. 1/373)

Menurut Imam Bukhari: Hadis yang dari Soleh bin Hassan al-Ansari dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi adalah hadis mungkar. Dan beliau berkata lagi: Setiap seseorang yang telah aku katakan hadisnya mungkar, maka tidak halal untuk meriwayatkan hadis darinya. (Lihat: ميزان الاعتدال 1/6. Az-Zahabi)

Menurut Ibnu Hibban: Semua hadis yang diriwayatkan oleh Soleh bin Hassan al-Ansari adalah hadis-hadis palsu. (Lihat: al-Irwa al-Ghalil. 2/180. al-Albani)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar: Soleh bin Hassan (متروك) “Ditinggalkan”. (Lihat: المعجم الكبير 10/319)

Tambahan “Dan sapulah muka kamu dengan telapak tangan kamu (setelah selesai berdoa), maka ia adalah tambahan yang mungkar”. (Lihat:  المعجم الكبير 10/319)

Berkata Abu Daud: Dia (Soleh bin Hassan) seorang yang lemah. (Lihat:  المعجم الكبير 10/319)

Dalam hadis lain bermaksud: “Berkata Hammad bin Isa al-Juhani dari Handhalah bin Abi Sufyan al-Jumahi dari Salim bin Abdullah dari bapanya dari Umar bin al-Khattab berkata: Rasulullah SAW mengangkat tangannya dalam berdoa. Baginda tidak mengembalikan kedua tangannya sehingga mengusap wajahnya. Berkata Muhammad bin al-Muthannah dalam hadisnya: Baginda tidak mengembalikannya keduanya sehingga mengusap dengan kedua tangannya wajahnya”. (Hadis Riwayat Tirmizi. 5/3386)

Hadis di atas ini adalah hadis lemah kerana sanad hadis ini berasal dari Hammad bin Isa al-Juhani. Nama penuh beliau ialah Hammad bin Isa bin Ubaid bin at-Thufail al-Juhani al-Wasiti al-Basri. Dia seorang perawi yang sangat lemah.

Berkata Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani: Perawi seperti dia adalah lemah sekali. Maka hadisnya tidak boleh dihasankan, dengan demikian sama sekali tidak boleh disahihkan. (Lihat: Irwa al-Ghalil fii Takhrij Ahadis Manaris Sabil. 2/433)

Menurut al-Hafiz az-Zahabi: Hammad bin Isa al-Juhani adalah perawi yang lemah. (Lihat: سير اعلام النبلاء 16/67. Az-Zahabi)

Abu Zur’ah ar-Razi berkata: Hadis (Hammad) ini adalah hadis mungkar yang diyakini tidak ada asalnya. (Lihat: العلل 2/351. Ibnu Abi Hatim ar-Razi)

Hadis di atas ini juga dilemahkan oleh para ulama hadis. Antaranya ialah: Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad dan Abu Hatim ar-Razi. Berkata Ibnu Makula: Para ulama hadis telah melemahkan hadis-hadis Hammad. (Lihat: تهذيب التهذيب oleh Ibnu Hajar. Lihat: العلل المتنهية 2/841. Ibnu al-Jauzi)

Hadis lain pula bermaksud: “Dari Abdullah bin Abbas, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu menutupi dinding-dinding (dengan kain), sesiapa melihat kitab saudaranya tanpa izinnya, maka sesungguhnya dia telah melihat dalam neraka. Mintalah kepada Allah dengan telapak-telapak tangan kamu dan janganlah meminta dengan belakangnya. Jika kamu telah selesai berdoa, maka usaplah wajah kamu dengan telapak tangan kamu”. (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

Menurut para ulama hadis, hadis ini sangat lemah kerana mempunyai beberapa illah (penyakit):

Berkata Abul Hasan bin al-Qatthan dan Al-Hafiz Iban Hajar: “Perawi hadis ini (Abdul Malik bin Muhammad bin Aiman al-Hijazi) هو مجهول “ Dia tidak diketahui/tidak dikenali”. (Lihat: تقريب التهذيب - Ibnu Hajar)

Berkata Abu Daud: “Hadis ini telah diriwayatkan dari berbagai jalan dari Muhammad bin Ka’ab, yang semuanya sangat lemah. Walaupun sanad ini adalah yang terbaik, namun hadis ini juga adalah lemah”. (Lihat: مختصر سنن ابي داود 2/1432)

Dengan penjelasan di atas, ternyata bahawa hadis-hadis tentang menyapu muka setelah selesai berdoa tidak ada yang sahih, oleh itu ia adalah sesuatu yang bidah, kerana perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan dan tidak ada contohnya dari Rasulullah SAW, para sahabat, para tabiin, tabi’ut at-tabi’in dan dari para ulama salaf as-soleh yang mengikut jejak mereka.

Pandangan ulama dalam hal menyapu muka setelah berdoa.

– Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Imam Malik bin anas al-Ashbahi Rahimahullah (w. 179H) ditanya tentang seseorang yang mengusap mukanya dengan kedua telapak tangannya ketika berdoa, ia mengingkari hal itu dan berkata, “Aku tidak mengetahuinya.””

 – Dari apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi (2/212), “Aku bertanya kepada Abdullah (Imam Abdullah Bin al-Mubarak Rahimahullah (w. 181H)/Ibnul Mubarak) berkenaan dengan orang yang jika berdoa mengusap mukanya, ia berkata, “Aku tidak menyaksikannya melakukan hal itu.” Ia berkata, “Abdullah berdoa qunut setelah rukuk di dalam solat witir dengan mengangkat kedua tangannya.”

– al-Baihaqi (w.458H), penulis kitab al-Sunan al-Kubra, di dalam kitabnya (2/212) ia berkata, “Berkenaan masalah mengusap muka dengan dua telapak tangan selepas selesai berdoa adalah sesuatu yang tidak ku hafal dari walau seseorang salaf (generasi awal) dalam hal doa qunut, sekalipun diriwayatkan dari sebahagian mereka hal itu dalam doa di luar solat. Telah diriwayatkan dari Nabi SAW sebuah hadis yang di dalamnya terdapat kelemahan yang menurut sebahagian mereka hadis itu diamalkan di luar solat, sedangkan di dalam solat hal itu adalah amalan yang tidak baku. Maka, yang lebih utama adalah tidak melakukannya dan membatasi diri dengan mengamalkan apa yang diamalkan oleh para salaf berupa mengangkat kedua tangan (ketika berdoa) tanpa mengusap muka di dalam solat.

 – Imam al-Nawawi (w. 676H) turut tidak memandubkan (menyarankan/mengharuskan) mengusap muka setelah berdoa, sekalipun di luar solat, sebagaimana yang disebutkannya di dalam kitab al-Majmu’. Hal itu disebutkan pula oleh Ibnu ‘Alan di dalam kitab Syarh al-Adzkar (2/311).

Di dalam kitab ar-Raudhah (1/255), beliau berkata, “Aku telah katakan bahawa tidak mustahab secara mutlak mengusap walau selain muka sama sekali, bahkan jamaah dari kalangan para ahli ilmu berpendapat bahawa hal itu makruh hukumnya.

 - Menurut Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyah (w. 728H) menyatakan di dalam al-Fatawa (22/519), dalam persoalan ini: “Berkenaan dengan Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa telah ada sejumlah hadis sahih berkenaan dengannya, sedangkan berkenaan dengan mengusap muka dengan kedua tangan, tidak ada hadis berkenaan dalam hal itu, melainkan satu atau dua buah hadis sahaja yang tidak boleh dijadikan hujah dengan keduanya.

– al-Fairuz Abadi (w. 817H) di dalam kitab Safar as-Sa’adah ia berkata, “Mengenai masalah mengusap muka dengan dua telapak tangan setelah berdoa tidak ada hadis yang sahih berkenaan dengannya.” Maka, beliau juga turut menyatakan bahawa hal menyapu muka selepas berdoa adalah tidak disunahkan.

– Ibnu ‘Alan ash-Shadiqi (w. 1057H), di dalam kitab syarh al-Adzkar (2/311) menyatakan bahawa, “Terdapat faktor yang memperkuat aspek pertama dari mazhab Syafi’i bahawa ia menjadikan mustahab (disarankan) mengangkat tangan (ketika berdoa), dan tidak mengusap.

Ulama Hanafi, menganggap menyapu muka adalah sunnah atau mandub (digalakkan). Hal ini disebut dalam kitab fiqh muktabar mereka iaitu Durr-Muhktar, Radd-Mukhtar, Shurubulaliyya dan Fatawa al-Hindiya.

Menurut kaedah dalam mazhab Hanafi, mereka lebih mengutamakan hadis daif berbanding akal (pendapat) manusia melainkan hadis daif itu bertentangan dengan hadis yang lebih kuat sanadnya, maka pada ketika itu hadis yang lebih kuat diutamakan.

Ulama Hanafi beranggapan bahawa hadis daif tetap hadis dan yang dipertikai adalah sanadnya sahaja. Golongan yang menolak hadis daif sebagai hujah adalah golongan yang lebih mengutamakan akal (pendapat) manusia berbanding hadis daif. Ini adalah salah satu di antara sebab banyaknya perselisihan dalam mengeluarkan hukum-hakam.

Bagi yang beranggapan menyapu muka selepas selesai berdoa adalah sunnah/mandub, mereka tidak bergantung kepada hadis-hadis di atas semata-mata. Terdapat beberapa riwayat lain yang menyokong hujah mereka.

Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adab al-Mufrad dengan sanad yang baik menurut Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah dalam Thalath Rasail, Ibn Umar berdoa bersama yang lain-lain. Daripada Wahab, “Aku melihat Ibn Umar dan Ibn al-Zubair berdoa (bersama-sama) dan menyapu muka dengan tangan mereka.” Peristiwa ini berlaku ketika kewafatan Saidina Husain bin Ali semasa pemerintahan Yazid Ibn Muawiyah.

Dalam Musannaf Ibn Abd Razzaq, dari Yahya Ibn Said al-Ansari iaitu qadhi Madinah, bahawa Ibn Umar biasanya berdoa bersama al-Qass dan mereka menyebut bahawa mereka (para tabiin) yang datang sebelum kami (para sahabat) akan berdoa dan kemudian menyapu muka supaya mendapatkan keberkatan doa. 

 Al-Qass adalah tabii Ubayd Ibn Qatada al-Laythi al-Makki. Sheikh Abu Ghuddah berkata, “Ini adalah bukti yang jelas mengenai amalan menyapu muka dengan kedua tangan selepas mengangkatnya dalam berdoa dan ia merupakan amalan generasi awal.”

Kesimpulannya, isu menyapu muka selepas berdoa adalah isu yang dipertikaikan. Seseorang muslim bebas memilih pendapat yang sesuai dengannya.

No comments:

Post a Comment