Iltizam dan komitmen untuk menuju ke
arah kebaikan adalah satu bentuk hijrah yang dituntut agama. Sedangkan berhijrah
ke arah kebaikan itu pula termasuk dalam kategori berjihad. Dengan kata lain,
usaha melakukan kebaikan memberikan peluang pahala yang besar tidak wajar
dilepaskan begitu sahaja.
Allah SWT berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang beriman dan mereka yang berhijrah dan berjihad di
jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah, ayat 218).
Pengembelingan seluruh kekuatan yang
dimiliki umat Islam di seluruh dunia adalah formula sebenar kebangkitan Islam. Sekiranya
seluruh umat Islam bersatu dalam satu matlamat yang sama, nasib umat Islam akan
berubah menjadi lebih baik dan seterusnya menjadi agama contoh.
Antara
perkara yang perlu diberi perhatian ialah perpaduan di kalangan sesama umat
Islam. Satu keadaan amat malang apabila akibat berlainan fahaman politik menyebabkan
perbalahan dan pertentangan sesama Islam. Sepatutnya politik hanya dijadikan
alat atau cara untuk mendapatkan kuasa pemerintahan sepertimana kehendak
demokrasi, bukannya menjadi punca pepecahan.
Pada
hakikatnya, tatacara politik Islam menolak sebarang bentuk perpecahan dan
keadaan yang merugikan umat Islam. Biarpun situasi politik di negara kita masih
terkawal, namun bibit-bibit ke arah perkara buruk sudah kelihatan. Kita tidak
mahu apa yang berlaku di negara luar merebak dalam negara.
Di
sesetengah negara Islam terdapat umat Islam berperang sesama sendiri kerana
berlainan politik. Masing-masing pihak mengaku mereka sedang berjihad dan
menghalalkan darah sesama Islam.
Umat
Islam perlu bersatu dan mengetepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman.
Allah SWT menegah dan benci kepada mereka berpecah belah.
Firman
Allah bermaksud: “Dan berpeganlah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan
janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103).
Melalui
asas perpaduanlah terbina masyarakat yang kuat ekonomi, tinggi akhlak, bijak
menguasai ilmu terkini, hidup penuh harmoni dan terhindar daripada budaya tidak
baik.
Barat mudah mempengaruhi pemimpin di
negara Islam yang lemah kedudukan politiknya, tetapi mempunyai sumber ekonomi
yang kuat. Barat mengaut keuntungan dengan mempunyai hubungan baik dengan
pemimpin negara Islam yang tunduk kepada kehendaknya.
Campurtangan kuasa asing dalam
negara Islam mengundang malapetaka. Sayangi dan pertahankan negara daripada
ansir jahat. Malaysia perlu ditadbir oleh pemimpin Islam yang mempunyai
karisma, kebijaksanaan dan tidak tunduk kepada pengaruh kuasa asing.
No comments:
Post a Comment