Saturday 9 November 2024

HONDA SUPER CUB 50 KELUARAN AKHIR EDISI 2025

 
Jika dibuat kiraan, banyak orang membesar dengan Honda Cub sama ada untuk bekerja, berniaga, belajar atau bersiar-siar.
 
Honda Cub juga menjadi objek sosioekonomi. Kepada pelanggan di Jepun, Honda memperkenalkan Honda Super Cub 50 Keluaran Akhir Edisi 2025.
 
Namanya seperti menggambarkan sesuatu dan memang benar, Super Cub 50 dengan enjin 50 cc akan ditamatkan.
 
Honda Super Cub 50 Keluaran Akhir Edisi 2025 hadir dalam warna bonnie blue (biru) yang mengingatkan kita kepada Super Cub lama.
 
Lencana depan, belakang dan kunci dibuat dalam rekaan khas, manakala rak belakang, penutup rantai dan lengan ayun mengggunakan warna biru seperti badan.
 
Bingkai meter berwarna krom dan begitu juga pelindung ekzos (hitam pada Super Cub 50 biasa), manakala pelana dibalut dwi-warna yang juga seperti model lama.
 
Sejarah motosikal 50 cc ini muncul pada tahun 1956, apabila Soichiro Honda melawat Jerman dan menyaksikan populariti motosikal ringan. Ia mencetuskan idea Soichiro untuk mereka bentuk dan mengeluarkan motosikal ringan seperti disaksikan di Jerman. Idea itu menjadi kenyataan apabila dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1958 ia mula dilancarkan.
 
Model asal tahun 1952 Honda Club F sebenarnya adalah enjin yang dipasang pada basikal. Honda mengekalkan nama tersebut tetapi menambah imbuhan 'Super' pada model motosikal ringan, walaupun ia hanya sekadar dipanggil Cub di beberapa negara. 

No comments:

Post a Comment