Friday 2 August 2024

PENGORBANAN TENTERA UNTUK MENGUASAI PULAU LAYANG-LAYANG

 
Setelah meletusnya konflik ketenteraan antara China dan Vietnam pada Januari 1974 di Gugusan Paracels, kerajaan China telah secara terang-terangan menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai perairan yang berada di bawah takluk dan penguasaannya.
 
Vietnam pula bertegas mempertahankan Gugusan Paracels dengan alasan gugusan tersebut telah berkurun-kurun di bawah kedaulatannya.
 
Konflik ini secara langsung telah membuka mata negara lain yang bersempadan Laut China Selatan untuk membuat tuntutan dan penempatan di terumbu berkenaan termasuklah Malaysia.
 
Ini jelas dengan penempatan yang dibuat oleh Filipina di Terumbu Laksamana yang terletak hanya 26 batu nautika timur laut Terumbu Peninjau dan penempatan Vietnam di Terumbu Perahu yang terletak hanya 35 batu nautika barat laut Terumbu Mantanani.
 
Laut China Selatan merupakan laluan perhubungan antara Lautan Pasifik di timur dan Lautan Hindi di barat.
 
Berikutan pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20 September 1979, kabinet telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang berada dalam lingkungan ZEE Malaysia bagi mengukuhkan tuntutan Malaysia di Kepulauan Spratly.
 
Melalui keputusan dan arahan kabinet itu, kajian terperinci telah dilakukan oleh Rejimen Jurutera Tentera Darat yang mendapati sebahagian sahaja terumbu berada dalam kawasan ZEE yang sesuai untuk didirikan tugu sebagai penanda dan penempatan.
 
Setelah mengenal pasti termbu karang yang sesuai untuk dijadikan petempatan, maka satu tugu dibina bermula pada 21 Jun 80. Bermula tarikh itulah dianggap bermulanya pembinaan Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Terumbu Layang-Layang, yang kemudian dikenali Pulau Layang-layang.
 
Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika atau sejam penerbangan dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, dengan empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.
 
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar anggota daripada Rejimen Gerak Khas (RGK) untuk menduduki Terumbu Layang-layang sebagai tanda penguasaan secara mutlak. Kumpulan pertama seramai 11 anggota mendarat dan menduduki Terumbu Layang-layang secara tetap pada awal Mei 1983, tanpa sebarang kemudahan infrastruktur.
 
Poncho digunakan sebagai khemah untuk tempat tinggal. Semasa air pasang, kawasan kering yang terdapat di Terumbu Layang-layang hanya berukuran lebih kurang 12 meter panjang kali 2 meter lebar,
 
Jadi, khemah perlu didirikan di atas kawasan kering ini. Sering terjadi apabila cuaca buruk, air laut akan masuk ke dalam khemah semasa anggota sedang tidur dan membasahi pakaian dan peralatan yang ada di dalam khemah.
 
Makanan yang dibawa adalah ‘pack rations’ dan air tawar dibawa dalam ‘jerry can’. Kerana kesulitan bekal ulang, air tawar hanya digunakan untuk minum dan masak.
 
Untuk mandi dan mencuci, air laut digunakan sepenuhnya. Hujan yang turun merupakan satu nikmat, di mana akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota untuk mandi dan sebagainya.
 
Memancing merupakan hobi untuk anggota yang tidak bertugas bagi mendapatkan ‘rangsum segar’.
 
Disebabkan ketiadaan infrastruktur, anggota melakukan tugas pemerhati (observation post) di atas batu karang yang berada di sekitar kawasan khemah baik pada siang atau pun malam hari.
 
Semasa air pasang, anggota perlu mengharungi air laut untuk merapat ke tempat tugas di atas batu-batu karang tersebut.
 
Ada kalanya mereka terpaksa mengharungi air laut hingga ke paras dada di dalam gelap untuk ke tempat tugas di atas batu!
 
Di siang hari, anggota terdedah kepada panas terik matahari dan pada malam hari mereka terdedah kepada tiupan angin kencang Laut China Selatan tanpa sebarang perlindungan.
 
Pada penghujung tahun 1989 dan memasuki tahun 1990-an keluasan Stesen Lima TLDM bertambah setelah ditambak sepenuhnya secara berperingkat menggunakan tanah, pasir, konkrit dan lain-lain yang diangkut dari Sabah, manakala modul Stesen Lima TLDM ditunda dari Semenanjung.

Pada tahun 1990-an juga kerja-kerja pembinaan infrastruktur penting seperti pembangunan penempatan anggota, bilik jana kuasa, dua lot hangar, stesen radar, menara peninjau dan persenjataan Bofor 40 mm.

Turut dibina ialah landasan terbang konkrit Stesen Lima sepanjang 1,067 meter antara tahun 1991 hingga 1995. Kesemua projek dibiayai Kerajaan Malaysia pada waktu itu sebagai suatu rangka pelan pertahanan dan industri pelancongan Malaysia.

Kemudian pada tahun 2001 landasan terbang Stesen Lima dinaik taraf dan dipanjangkan kepada 1,367 meter dan 28 meter lebar. Kerja-kerja pembesaran landasan terbang dijalankan Syarikat tempatan Sin Matu Sdn. Bhd. dan siap sepenuhnya pada tahun 2003.

Nombor pengklasifasian landasan terbang adalah 032RBXU, menunjukkan landasan terbang adalah sederhana kukuh pembuatannya terhadap pengolahan maksimum tekanan tayar pesawat.

Selain untuk tujuan pertahanan, Stesen Lima kini menjadi lokasi tumpuan pelancong atau kawasan ekopelancongan yang semakin mendapat sambutan pelancong dari dalam negara mahupun luar negara.

 

No comments:

Post a Comment