Friday 1 December 2023

PKM SEBAR FAHAMAN KOMUNIS DI MALAYA

 
Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada April 1930. Asas perjuangan PKM adalah untuk menyebarkan fahaman komunis di Malaya. Fahaman komunis ketika itu berkembang di Eropah Timur yang berpusat di Rusia. Di Asia pula, negara China menjadi kuasa terbesar fahaman komunis. Fahaman komunis menolak kewujudan Maha Pencipta.
 
Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan di Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan 30 April 1930. Bapa Revolusi Vietnam, Ho Chi Minh hadir sebagai wakil Communist International (Comintern) dan merasmikan penubuhan PKM.  
 
Daripada buku ingatan Abdullah CD (1923) sejarah merakamkan pada perasmian itu ada hadir buruh Tionghua, ada penoreh getah Tionghua dan hadir sama penoreh getah Melayu dan disertai juga oleh kaum tani Melayu. Ideologi PKM ialah Marxisme. Maknanya dasar dan perjuangan PKM ialah untuk mendirikan Tanah Melayu yang bebas merdeka daripada cengkaman penjajah Inggeris. Mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Mendirikan Republik Tanah Melayu.
 
Pada tahun 1930 ketika PKM ditubuhkan Tanah Melayu adalah tanah jajahan Inggeris.
Ideologi komunis mengajukan sikap internasionalisme iaitu umat sejagat tanpa bangsa. Slogan “Buruh Sedunia Bersatulah, tidak ada yang hilang kecuali rantai penindasan.
 
Slogan ini kukuh mengegar dunia termasuk di Tanah Melayu. Ajaran Marxis mendidik umat manusia untuk menerima bahawa bumi ini adalah bumi milik bersama umat manusia. Dunia ini adalah milik anak semua bangsa. 
 
Ini fahaman dan ajaran yang dipegang oleh semua parti-parti komunis dalam tahun-tahun 1930-an. Ini dalam era pasca Revolusi Bolshevik 1917 dan sebelum munculnya Republik Rakyat China pada tahun 1949.
 
Di Tanah Melayu gerakan komunis dan gerakan kiri cukup ampuh. Gerakan yang paling tersusun adalah kesatuan sekerja kaum buruh. Buruh ladang getah dan buruh lombong bijih disusun dalam kesatuan buruh. Kesemua buruh ini adalah buruh import iaitu pendatang dari China dan India. Orang Melayu pada ketika itu kebanyakan menjadi petani sara hidup atau bekerja sendiri dalam bidang pertanian.
 
Kehadiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu ini menimbulkan kesedaran nasionalisme. Semangat mahu bebas. Semangat mahu bertuankan diri sendiri. Semangat mahu merdeka lahir akibat adanya penjajah Inggeris.
 
Kaum Melayu bangun berjuang mahu tanah air mereka dipulangkan kepada mereka. Kaum Melayu tidak mahu dijajah. Manakala kaum buruh Cina dan India mahu upah buruh yang berpatutan, adil dan bebas daripada penindasan tuan ladang dan tuan lombong.
 
Maka, wujud kepentingan bersama mendobrak Inggeris. Kaum buruh menentang kaum pemodal yang menindas. Kaum Melayu mahu merdeka. Ini bibit-bibit Barisan Bersatu demi kepentingan bersama masing-masing.
 
Justeru laungan merdeka pertama di Tanah Melayu datang daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM - 1938-1945). KMM dibubarkan pada tahun 1945. Sebuah parti politik baru iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan sebagai ganti pada tahun 1945, iaitu 17 Oktober 1945.
 
Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, penggerak fahaman komunis menubuhkan Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) dan berkerjasama dengan British.
 
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, ahli MPAJA diarahkan menyerahkan senjata kepada British yang kembali mentadbir negara. Namun, sebilangan ahli MPAJA tidak berpuas hati dengan arahan tersebut dan membantah British yang kembali menguasai negara.
 
MPAJA dibubarkan, namun ahli yang membantah British kembali berkuasa menjadikan PKM sebagai landasan untuk terus memperjuangkan perjuangan mereka. Mereka telah mengundurkan diri dan bersembunyi di hutan-hutan dan menghasut rakyat menentang pemerintahan British. 
 
Beberapa kejadian pembunuhan terhadap rakyat serta menyerang dan merosakkan ladang-ladang getah, membakar bas dan kenderaan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini dengan sewenang-wenangnya. Kerajaan British terpaksa mengistiharkan keadaan Darurat diseluruh negara pada 8 Jun 1948.
 
Semasa Darurat diistiharkan Askar Melayu hanya berkekuatan 3 batalion. Mereka telah berjuang menentang pengganas komunis bersama tentera British, tentera dari negara-negara Komanwel dan pasukan Polis.
 
Askar Melayu telah diperbesarkan meningkat kepada 7 batalion sehingga tahun 1956. Dalam jangkamasa yang sama Kor Peninjau (Armor) dan Rejimen Semboyan telah ditubuhkan. 
 
Dengan penubuhan dua pasukan baru ini perkembangan Tentera Darat bertukar corak dengan memberi kesempatan kepada bangsa-bangsa bukan Melayu berganding bahu bersama mempertahankan negara. 
 
Kemudian Rejimen Jurutera ditubuhkan diikuti dengan Kor Polis Tentera. Dengan bertambahnya anggota Tentera Darat, kejayaan demi kejayaan dalam menghapuskan pengganas komunis telah tercapai. Akhirnya dalam tahun 1960 Darurat diistiharkan tamat.
 
Perjuangan komunis tidak bo­leh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan. Mereka hanya berjuang untuk kepenting­an PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Sebab itu, biarpun negara telah mencapai kemerdekaan, PKM terus menentang kerajaan dan terus membuat onar yang menyebabkan darurat terus dikuatkuasakan sehingga tahun 1960.
 
Perjuangan PKM mendapat sokongan orang Cina dan sebilangan orang Melayu. Antara tokoh komunis di kalangan orang Melayu ialah Samsiah Fakeh dan Abdullah CD. Namun, secara keseluruhan perjuangan PKM tidak mendapat sambutan rakyat.
 
Akibat kesukaran dan ke­ku­rangan sokongan daripada masyarakat, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng telah meminta perun­dingan diadakan pada 1955. Run­dingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Pu­tera, Baling pada 1955.
 
Bapa Kemerdekaan, Tunku Ab­dul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan menolak menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tun­tutan PKM agar dibenarkan berge­rak sebagai sebuah parti politik yang sah.
 
Chin Peng kembali ke dalam hutan dan melakukan keganasan. PKM terus menyebarkan propaganda agar rakyat membenci usaha untuk mencapai kemerdekaan. Sepanjang keganasan dilakukan oleh PKM, seramai 2,083 anggota keselamatan negara terkorban dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera.
 
Setelah komunis runtuh di Rusia dan runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dengan PKM ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
 
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata. Ahli PKM di­terima sebagai warganegara Ma­laysia dan boleh kembali ke Malaysia dengan syarat membuat permohonan. Namun Chin Peng tidak membuat permohonan kembali ke Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment