Tuesday 2 February 2021

SEJARAH AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

Apabila disebut mengenai agensi atau pasukan berperanan menjaga keselamatan negara, maka tergambar tugas angkatan tentera dan polis. Namun, di beberapa buah negara luar, terdapat agensi yang berkongsi tugas menjaga keselamatan di perairan negara yang lebih dikenali ‘pengawal pantai’.

Mencontohi negara luar yang membuktikan peranan pengawal pantai, maka pada 21 April 1999, bermuala satu kajian untuk mewujudkan sebuah agensi penguatkuasaan.

Hasil kajian tersebut, pada 21 Ogos 2002, kabinet meluluskan penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan diikuti pada 16 April 2003, tertubuhnya tim nukleus sebagai perintis usaha merealisasikan penubuhannya.

Pada Julai  2004, Akta APMM 2004 (Akta 633) telah diwartakan sebagai tanda ia sudah secara sah boleh beroperasi sebagai satu agensi mengikut undang-undang.

Namun, Akta 633 hanya mula dikuatkuasakan 15 Febuari 2005, yang mana tarikh tersebut diisytihar sebagai penubuhan rasmi APMM dan dijadikan sebagai Hari Ulang Tahun APMM. 

Pada 30 Oktober 2005, APMM telah mula beroperasi di Zon Maritim Malaysia dengan penumpuan diberi kepada perairan Selat Melaka terlebih dahulu.

Pada 6 Jun 2006 bermulanya APMM mengambil alih tugas penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim dari Jabatan Laut Malaysia bagi mengendalikan operasi Mencari dan Menyelamat di kawasan tanggungjawab.

Bermula dengan hanya beberapa buah kapal dan anggota, APMM diberikan tugas bagi memastikan undang-undang maritim di zon ekonomi eksklusif Malaysia dikuatkuasa serta memelihara keselamatan termasuk alam sekitar dan operasi menyelamat.

Selain itu APMM juga diberikan hak menguatkuasakan undang-undang termasuk melakukan pendakwaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang maritim.

Sehingga kini APMM telah berkembang maju dengan mempunyai lebih dari 113 buah kapal serta bot laju, 6 buah helikopter dan 2 buah kapal terbang pelbagai guna kesemuanya diterima dari pasukan Tentera Laut, PDRM, Kastam dan Jabatan Perikanan bagi tujuan memperkuatkan pasukan APMM ini.

Dengan bantuan pasukan khas PASKAU dari TUDM dan PASKAL dari TLDM yang dipindahkan, APMM telah menubuhkan Pasukan Khas dan Penyelamatan atau dikenali sebagai STAR (Special Team and Rescue) dengan latihan dan diberikan tugas-tugas khas seperti mengiringi VIP dan menyelamat tebusan.

Dengan penubuhan STAR ini telah mengukuh dan menguatkan lagi APMM dan memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa keselamatan persisiran perairan Malaysia ini adalah selamat dari pencerobohan.

Seperti kita sedia maklum perairan Malaysia sering menjadi 'laluan tikus' bagi pendatang asing (PATI) serta kumpulan penyeludupan dadah untuk memasuki negara ini, bukan itu saja, bot-bot nelayan asing juga sering di dapati menceroboh perairan negara, kesemua gerakan ini dapat dipatahkan dengan jayanya oleh APMM.

Namun kejayaan seperti ini tidak akan dapat dilakukan dengan sempurna sekiranya rakyat negara ini sendiri tidak memberi kerjasama didalam membenteras pendatang asing dan penyeludup dadah dari memasukki negara ini.

Rakyat perlu melaporkan sebarang maklumat kepada pihak APMM berhubung setiap salah laku di perairan negara ini melalui talian MERS 999, terutama mereka yang tinggal berhampiran persisiran pantai mahu pun para nelayan yang kehidupan mereka banyak di habiskan di laut.

Sebagai rakyat kita seharusnya menjadi mata dan telinga kepada APMM ini bagi mencegah kemasukkan PATI, pencerobohan serta penyeludupan, memungut hasil laut di perairan negara secara haram dan sebagainya yang jelas telah melanggar kedaulatan perairan negara kita ini.

Sehingga kini APMM terus giat melakukan operasi bagi mencegah dan menghalang kemasukan penyeludup serta pencerobohan PATI bagi memastikan kedaulatan maritim negara terus terpelihara.

Sesungguhnya, penubuhan APMM benar-benar bertepatan dengan keperluan dan kehendak negara pada waktu kini dan mungkin selamanya selagi negara dikelilingi oleh laut dan pantai.

No comments:

Post a Comment