Sunday, 22 May 2022

BALASAN MENCINTAI AL-QURAN

 
Diriwayatkan satu kisah dahulu kala. Pada suatu malam seorang lelaki melalui sebuah kawasan perkuburan yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang keluar dari salah satu kubur, dan terus menjulang ke langit.

Lelaki itu terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa di sisi Allah. Mungkin orang yang disemadikan itu sama ada dia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang amat istimewa kedudukannya di sisi Allah.

Maka lelaki itu mengambil sebatang kayu, lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu sebagai satu tanda. Keesokan harinya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani beberapa orang kampung.

Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu sehingga kuburnya bercahaya pada malam hari.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung ke rumah keluarga simati dan bertemu dengan isteri simati. Lelaki itu lalu menceritakan kepada isteri simati tentang keajaiban yang dilihat di kubur suami wanita itu.

Perkhabaran itu tentu sekali menyebabkan isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa yang hebat dari segi amal ibadatnya. Suaminya seorang petani biasa saja.

Suaminya bukan seorang alim, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru al-Quran. Malah suaminya tidak pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran.

Untuk menyelidik lanjug, lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.

Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam suaminya akan mengambil wuduk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Suaminya akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta huruf al-Quran. Dia akan meraba-raba ayat-ayat Quran itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.

Tambah isteri si mati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu ini. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini ya Allah.”

“Wahai Qalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu. Aku tidak dapat bersahabat denganmu. Aku tidak dapat memahamimu. Tapi aku sangat mengasihimu. Aku sangat mencintaimu.“

“Wahai Qalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapan Allah di akhirat nanti”.

Lelaki itu meminta untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas air mata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai air matanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan roh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimah-kalimah Allah itu dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Maka yakinlah lelaki itu bahawa punca Allah melebihkan si mati dengan keadaannya kuburnya bercahaya disebabkan semasa hayatnya si mati amat mengasihi al-Quran biarpun tidak pandai membacanya. 

No comments:

Post a Comment