Wednesday, 18 May 2022

BERAYA SEBULAN TIDAK DITEGAH

 
Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.  

Budaya sambut Aidilfitri secara meriah dan berterusan dalam tempoh panjang sebenarnya hanya berlaku di Nusantara. Di negara Arab, sambutannya hanya dua atau tiga hari saja. Selebihnya dalam bulan Syawal mereka melakukan puasa sunat enam dan aktiviti seperti bulan lain.

Adat yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan syariat.

Dalam fikah Islam, sesuatu yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam diterima sebagai sesuatu yang baik baik untuk diamalkan. Ia merupakan salah satu daripada lima kaedah asas dalam al-Qawaid al-Fiqhiyyah.

Untuk diterima sebagai satu amalan yang baik, hendaklah dijauhi atau bercampur dengan perkara haram. Contohnya, bagi wanita hendaklah mengelak daripada berpakaian yang mendedahkan aurat. Begitu juga, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga mesti dijaga agar tidak terlibat perbuatan haram.

Turut perlu diberi penekanan ialah menolak sikap membazir ketika sambutan Aidilfitri. Jauhkan juga sikap yang ditegah seperti bongkak, sombong, riak dan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan. Hal itu dapat merapatkan hubungan yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing.

Hadirlah rumah terbuka dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.

Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian.

Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.

Bayangkan jika kita beraya sepanjang Syawal? Sepatutnya selepas menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan yang perlu diberikan ialah kepada urusan kehidupan seharian agar lebih berjaya dan cemerlang. Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar bersederhana dalam semua perkara.

No comments:

Post a Comment