Tuesday 10 July 2018

BANYAK KETAWA PUNCA KURANG RASA TAKWA

Manusia mempunyai naluri atau perasaan yang sentiasa dizahirkan secara spontan berdasarkan kepada situasi atau kejadian. Sikap marah, sedih, gembira, ketawa dan diam silih bertukar dalam diri manusia normal. 

Sesiapa yang tidak mengalami perasaan itu bermakna hatinya telah mati dan tidak dapat membezakan apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Ketawa adalah adalah gambaran hati bahawa seseorang berasa gembira dan suka. Biasanya ketawa dizahirkan dengan suara terkekeh-kekeh dengan bunyi kuat. Perbuatan itu secara spontan apabila melihat atau mendengar sesuatu melucukan dan menghiburkan. 

Ketawa dianggap penyeri dalam kehidupan bagi menceriakan suasana yang dingin dan membosankan. Ketawa juga mengeratkan perhubungan sesama manusia. Malah sesuatu yang amat bermakna jika kita dapat membuat orang lain ketawa.

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya hati akan merasa jemu dan bosan seperti mana badan merasa letih dan lesu, oleh itu rehatkan mereka dengan hikmah dan kebijaksanaan. Berikan ruang untuknya bagi mengembalikan keceriaan.”

Gelak ketawa diharuskan dalam Islam kerana ia adalah sifat semula jadi dalam diri manusia. Ketawa dianggap sebagai terapi minda untuk mewujudkan suasana gembira dan ceria. 

Terdapat ungkapan menyebut 'ketawa itu penawar duka'. Pada masa sama kita perlu meraikan sesuatu yang disukai dengan menzahirkan secara ketawa dan senyuman. 

Seperti juga perbuatan lain, Islam menegah jika dilakukan secara keterlaluan. Kita sering diingatkan agar tidak 'ketawa hingga lupa diri". Ungkapan itu juga bermaksud agar kita sedar siapakah kita sebenarnya. 

Sesungguhnya manusia diciptakan Allah SWT untuk beribadat kepada-Nya. Kehidupan mengejar kepuasan dan nikmat dunia semata-mata akan menjauhkan manusia daripada Allah SWT.  

Allah SWT memberi peringatan bahawa sikap mereka yang tidak mahu berjuang di jalan Allah SWT sebenarnya hanya beroleh sedikit kegembiraan (mereka ketawa), sedangkan menanggung kerugian di akhirat. 

Allah SWT berfirman bermaksud: "Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." - (Surah at-Taubah, ayat 82)

Hakikat bahawa ketawa itu penawar duka yang mujarab sukar ditolak, kerana secara logik pada saat seseorang sedang ketawa tidak mungkin pada masa sama mereka memikirkan perkara yang menyedihkan. Kegembiraan akan menghilangkan tekanan mental dan membantu meningkatkan kesihatan diri.   

Kita perlu berhati-hati dalam usaha mewujudkan suasana gembira. Perkara utama ialah jangan menyebabkan hati orang lain terguris atau berduka akibat perbuatan itu. Islam tidak membenarkan kita merasai kegembiraan atas kedukaan orang lain.

Tidak adil dan zalim kita berusaha mencipta kegembiraan dengan menyebabkan orang lain berduka. Islam menegah kaedah matlamat menghalalkan cara. 

Mereka yang mencipta kegembiraan di atas kesengsaraan orang lain sebenarnya terbukti tidak taat kepada Allah SWT yang melarang perbuatan itu dilakukan. 

Umar al-Khattab berkata: "Seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takut kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, akan kuranglah taatnya kepada Allah."

Antara amalan biasa mencetuskan derai tawa ialah mentertawakan kekurangan atau sifat orang lain. Gelaran memalukan dan ejekan sering dijadikan bahan untuk bergelak tawa dalam masyarakat kita. 

Perbuatan itu menjatuhkan maruah orang yang dijadikan bahan ejekan itu. Lebih menyedihkan apabila perkara itu dijadikan bahan cerita yang disebarkan kepada orang ramai untuk dijadikan bahan gelak ketawa.   

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Celakalah mereka yang berbicara untuk diketawakan orang ramai sedangkan apa yang dibicarakan adalah dusta semata-mata.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam masyarakat berbilang kaum seperti negara kita, kata-kata dan perbuatan melibatkan kaum lain perlu dijaga untuk mengelak perkara buruk. Suatu perkara ditegah kita mempermain-mainkan kaum lain berdasarkan gelaran, ungkapan dan amalan mereka. Perbuatan itu boleh mencetuskan permusuhan dan saling melakukan penghinaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum lain kerana mungkin mereka adalah lebih baik dari kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sesungguhnya kita diingatkan agar berhati-hati agar bersederhana dalam ketawa. Jangan ketawa keterlaluan sehingga memberi ruang untuk syaitan menimbulkan perasaan tidak baik.  

Saidina Ali menyebut: “Bersenda yang keterlaluan adalah dorongan nafsu dan akan mendapat bantuan daripada syaitan.”

Kerap kali ketawa dilakukan bertujuan mengejek orang lain seperti berlaku ketika perlawanan sukan. Pihak yang menang merayakan kemenangan dengan sorakan dan ketawa yang turut mengeluarkan kata-kata menghina pihak kalah. Keadaan mencetuskan pergaduhan hingga keadaan sukar dikawal.

Maka itu, berhati-hatilah dalam ketawa. Jadikan ketawa membawa gembira, bukan mencetuskan duka.  

No comments:

Post a Comment