Saturday, 14 July 2018

LAGENDA SEJARAH PUTERI SAADONG

Puteri Saadong anak kepada Raja Loyor yang memerintah Kelantan Utara berpusat di Kota Jembal. Pada masa sama terdapat sebuah lagi kerajaan iaitu berpusat di Kelantan Selatan dikenali Kerajaan Chinta Wangsa.yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita ulung dalam sejarah Kesultanan Kelantan.

Memandangkan Cik Siti Wan Kembang tidak mempunyai anak, maka baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat. Puteri Saadong terkenal cantik dan bijak. Keistimewaan Puteri Saadong telah diketahui oleh Raja Siam, lalu ingin memperisterikan Puteri Saadong. Hasrat Raja Siam itu ditolak oleh dua kerajaan itu Kerajaan Chinta Wangsa dan Kerajaan Jembal.

Untuk mengelak hasrat Raja Siam itu, maka Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah, yang juga sepupu kepada Cik Siti Wan Kembang, seawal usia 15 tahun. Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah dianugerahkan sebuah jajahan bernama Jelasin yang dijadikan sebuah negeri dan mereka dimasyhurkan sebagai pemerintah. Ada juga hikayat yang menyebut nama negeri itu ialah Kota Mahligai.
  
Raja Siam yang berasa terhina dengan perancangan licik Cik Siti Wan Kembang dan Raja Loyor, tidak memperduli tentang status Puteri Saadong yang telah menjadi permaisuri kepada satu kerajaan baru dan disokong oleh dua kerajaan sedia ada iaitu Kerajaan Chinta Wangsa dan Kerajaan Jembal, mengarahkan bala tentera agar menyerang kerajaan di Jelasin untuk merampas Puteri Saadong.

Serangan tentera Raja Siam mampu dipatahkan oleh tentera Kota Jelasin. Namun, banyak tentera yang terkorban dan cedera. Puteri Saadong yang melihat sendiri keadaan itu berasa amat sedih. Puteri Saadong sungguh tertekan perasaannya bila melihat ramai rakyat terkorban. Isteri-isteri kematian suami, dan ibu-ibu kehilangan anak-anak lelaki mereka.

Tidak lama selepas itu, sampai perkhabaran bahawa tentera Siam telah bersedia untuk menyerang bagi gelombang kedua dengan kekuatan tentera yang lebih besar dan kelengkapan perang yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh kerajaan-kerajaan di Kelantan ketika itu.

Melihat kegelisahan rakyatnya dan juga kerisauan suaminya terhadap musibah baru yang akan melanda negeri mereka, Puteri Saadong akhirnya bertitah supaya dia diserahkan kepada Raja Siam dengan syarat suaminya dan rakyat negeri Jelasin tidak akan diusik bahkan akan dinaungi dari sebarang ancaman oleh Raja Siam.

Keberangkatan tiba Puteri Saadong ke Siam telah diraikan dengan penuh meriah. Bagaimanapun, sebaik Puteri Saadong menjejakkan kakinya di istana barunya itu, Raja Siam jatuh gering. Setelah beberapa hari berlalu, Raja Siam yang tidak sembuh-sembuh telah menitahkan supaya dia diusung ke kamar Puteri Saadong. Keberangkatan Raja Siam disambut Puteri Saadong dengan hormat dan bermaruah.

Raja Siam ketika bertemu Puteri Saadong mengakui penyakitnya bermula sebaik ketibaan Puteri Saadong ke istana. Biarpun kudis yang tumbuh di bahagian dadanya agak kecil, namun sungguh berbisa. Ketika bertemu Puteri Saadong, bisa kudis semakin terasa dan tidak mampu lama berada di situ.

Pelbagai bomoh dan tabit dipanggil mengadap untuk merawat baginda, tetapi semakin lama, semakin merebak kudis-kudis kecil itu. Kesakitan itu amat sangat kuatnya, dan bertambah-tambah lagi bila baginda menghampiri Puteri Saadong.
Melihat kegeringan baginda mula menjejaskan pemerintahan Kerajaan Siam, ketua sami mengadap Raja Siam dan menawarkan pandangannya. Setelah bersujud sembah dan memohon diampunkan segala yang akan dituturkan, ketua sami itu menawarkan pandangannya.

Pada firasat ketua sami itu, geringnya baginda ada kaitan dengan kehadiran Puteri Saadong ke tanah Siam dan menasihatkan baginda menitahkan supaya Puteri Saadong mengadap dan mendengar pandangan tuan puteri tentang penyakit yang dialaminya itu.

Maka atas titah baginda, Puteri Saadong dibawa mengadap. Seperti sebelum-sebelumnya, bertambah-tambah sakit baginda bila berada hampir dengan tuan puteri itu.

Bertanyalah baginda Raja Siam kepada Puteri Saadong, adakah musibah yang dialaminya itu adalah atas angkara Puteri Saadong. Namun dengan berhemah, Puteri Saadong menjawab bahaa pada firaatnya, musibah itu, adalah angkara perbuatan Raja Siam sendiri.

Puteri Saadong berjanji akan merawat Raja Siam dengan syarat setelah sembuh nanti, baginda akan dihantar pulang ke Jelasin. Raja Siam yang tiada pilihan terpaksa menerima syarat tersebut.

Setelah sekian masa berlalu, penyakit Raja Siam telah sembuh. Lalu, atas menunaikan janjinya, Puteri Saadong telah dihantar pulang menaiki bahtera dengan diiringi dayang-dayang dan hadiah.

Takkala bersama pengiring-pengirinya tiba di Jelasin, sesuatu perkara tidak diduga telah berlaku. Raja Abdullah yang pernah berjanji untuk setia menanti kepulangan Puteri Saadong telah mungkir janji berkahwin dengan wanita lain. Tindakan Raja Abdullah itu dipercayai kerana tidak yakin bahawa Puteri Saadong akan kembali setelah berada di bawah penguasaan Raja Siam yang cukup kuat.

Pertelingkahan yang berlaku antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Berhubung kemangkatan Raja Abdullah, terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai punca yang menyebabkan kematian suami Puteri Saadong itu.

Ada pendapat mengatakan wujudnya konspirasi atau pakatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan ketegangan di antara suami isteri itu yang seterusnya menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian Raja Abdullah seolah-olah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu kerana dia disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong membawa diri ke Bukit Marak bersama dayang-dayangnya termasuk seorang pengawal yang dikenali Awang Selamat.

Beberapa bulan kemudian, Raja Abdul Rahim (adik Raja Abdullah) dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 1671 (dengan gelaran Sultan Abdul Rahim) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan untuk turun takhta.

Namun, sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman berlaku menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit Marak supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di Jelasin.

Kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul Rahim terbunuh di tepi Tasik Lelayang. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Sultan Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan sepupunya, Raja Kechil Sulong.

Dengan kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat di Jelasin atau Kota Mahligai dan selepas itu wujud kembali kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675. Sultan Umar merupakan adik kepada Raja Loyor (Sultan Adiludin) iaitu bapa kepada Puteri Saadong.

Sepanjang pemerintahan Sultan Umar, tiada sebarang permusuhan mahupun pergaduhan tercetus di antara negara jiran, malah rakyat hidup dalam keadaan aman damai. Bapa saudara Puteri Saadong itu juga melakukan pelbagai bentuk pembangunan termasuk membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal, melakukan lawatan kerja ke seluruh kawasan dan jajahan takluk dan membina hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Patani, China dan Jawa.

Mengenai Puteri Saadong yang bersemayam di Bukit Marak, dikatakan telah berpindah ke Gunung Reng yang terletak di Jeli. Sejak dari situ tidak ada lagi jejak sejarah mengenai Puteri Saadong.

No comments:

Post a Comment