Sunday 8 July 2018

MENJAGA KEBERSIHAN TERMASUK DALAM IBADAT

Islam mementingkan berkaitan alam sekitar. Tanggungjawab menjaga alam sekitar dan melestarinya perlu dilaksanakan dalam rangka tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Manusia bertanggungjawab memelihara dan memulihara seluruh kandungan yang ada di bumi sama ada di atas dataran, di dalam perut bumi, air dan udara. 

Proses memelihara dan memulihara perlu dilakukan bagi memastikan hayat sumber semulajadi terpelihara untuk memberi manfaat berterusan kepada manusia dan seluruh kehidupan di muka bumi ini.

Keperluan meningkatkan usaha menjaga alam sekitar semakin penting apabila peningkatan jumlah penduduk dan aktiviti manusia yang secara langsung menyumbang kepada pencemaran dan pemusnahan. 

Pembangunan adalah sebahagian daripada perkara yang berlaku di sekeliling kita pada setiap hari. Atas nama pembangunan, saban waktu kita melihat keadaan semula jadi di muka bumi ini dipaksa dikorbankan demi mengejar seribu impian yang terkandung dalam pembangunan.

Proses pembangunan memang diperlukan untuk manusia menikmati kehidupan yang lebih baik. Namun proses itu mesti selari pula dengan usaha menjaga alam sekitar. Semua sumber alam yang diperlukan manusia dapat dipenuhi jika pengurusan sumber dilakukan dengan berhemah.

Sebenarnya alam ini masih mampu menampung pertambahan penduduk dan sumber semulajadinya mencukupi untuk kegunaan setiap penghuninya. Allah menjanjikan rezeki yang mencukupi untuk setiap hamba-Nya jika manusia tahu bersyukur menguruskan secara bijak sumber semulajadi yang ada.

Umat Islam perlu memahami segala usaha untuk memelihara alam sekitar sama halnya dengan menjaga diri sendiri dan agama. Sesiapa melakukan suruhan agama mendapat balasan seperti melaksanakan ibadat lain. 

Konsep ibadah tidak hanya terhad kepada ibadat khusus seperti sembahyang saja. Melakukan perkara yang mendatangkan kebaikan dengan niat mencari keredaan Allah juga sebahagian daripada ibadah. 

Aspek kebersihan yang menjadi sebahagian cara menjaga alam sekitar adalah antara perkara utama yang dibincangkan dalam kitab Fikah seperti berkaitan tatacara bersuci, pembahagian jenis air dan kategori najis. 

Pengetahuan mengenai berkaitan bersuci ini penting kerana sebahagiannya melibatkan sah dan tidak sah amalan yang berkaitan dengannya. Kebersihan juga faktor melahirkan individu yang sihat dan kuat agar lebih disayangi oleh Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah lebih menyayangi orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim).

Kekuatan jasmani bererti seseorang itu memiliki daya ketahanan melakukan tugas yang berat dan secara berterusan dalam tempoh yang lama. Kekuatan jasmani secara langsung mempunyai kaitan dengan kekuatan akal.

Pepatah Arab menyebut ‘akal yang sihat adalah daripada badan yang sihat’. Badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan. Apabila seseorang Muslim memiliki jasmani dan minda yang kuat, mudahlah untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang diamanahkan kepadanya. 

Islam tidak berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran. Muaz meriwayatkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Berhati-hatilah kamu akan tiga perkara yang dilaknati berkaitan membuang air besar iaitu di laluan air mengalir, di tengah jalan dan di tempat teduhan manusia.”

Dalam masyarakat sekarang memang jarang ada orang melakukan ketiga-tiga perbuatan itu. Namun, hadis itu boleh dikiaskan kepada perbuatan lain yang boleh menyebabkan pencemaran. Sesungguhnya apa jua jenis pencemaran dilarang dilakukan. 

Dalam hadis tadi disebut perbuatan mencemarkan alam sekitar sebagai yang dilaknati. Jelas sekali betapa perbuatan mencemarkan alam sekitar amat ditegah. Orang beriman pasti memandang perkara ini amat penting bagi mengelak dari tergolong melakukan perbuatan dilaknat.

Sesungguhnya, pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk kepda penduduk dunia dan hidupan lain di bumi ini. Semua golongan haruslah berganding bahu untuk mengatasi masalah ini. Jadikan tugas ini sebahagian daripada suruhan agama. 

Untuk menjayakan hasrat melestari alam sekitar memerlukan penyertaan semua pihak. Membuang sampah merata-rata biarpun sekadar pembalut makanan ringan juga menjadi punca pencemaran. 

Memang apa yang dibuang itu kecil, tetapi jika semua orang melakukan perbuatan yang sama, maka jumlahnya akan banyak. Sesiapa yang membuang sampah tidak kira kecil atau besar sama-sama melakukan dosa. 

Menjaga kebersihan adalah sebahagian daripada cabang iman. Jadi sesiapa melakukan perbuatan menyebabkan pencemaran alam sekitar adalah tanda kecacatan iman. Seharusnya kita tidak memandang mudah mengenai alam sekitar jika kita benar-benar mengaku sebagai seorang Muslim.

Rasulullah bersabda bermaksud: Iman mempunyai lebih 70 cabang. Yang paling utama ialah pengakuan tauhid dan yang paling kurang ialah membersih sampah di jalan raya. Perasaan malu juga adalah suatu cabang iman.” (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment