Thursday, 7 April 2016

PERANAN MASJID


Dalam kehidupan masyarakat Islam, masjid memainkan peranan yang amat besar dan luas. Masjid bukan sekadar tempat melakukan ibadah semata-mata. Andai kata fungsi masjid itu hanya terbatas sebagai tempat mengerjakan sembahyang, peranan itu telah dapat dicakupi oleh tempat-tempat lain. 

Sejarah jelas membuktikan bahawa masjid berperanan besar sebagai pusat pembinaan tamadun Islam yang gemilang. Usaha pertama Rasulullah sesampainya di desa Quba dalam peristiwa Hijrah ialah mendirikan masjid.

Peristiwa Rasulullah SAW  mendirikan masjid pertama di Quba dalam sejarah pengembangan Islam turut dinukilkan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Masjid itu didasarkan atas asas takwa,” (Surah at-Taubah, ayat 108).

Di Masjid Quba ini jugalah buat pertama kali umat Islam melakukan solat Jumaat. Ketika Rasulullah SAW meninggalkan Quba bagi meneruskan perjalanan ke Madinah, unta yang ditunggangi baginda dibiarkan mengemudi perjalanan yang akhirnya berhenti di satu tempat.

Di tempat itulah, Rasulullah SAW kemudiannya membeli tanah itu untuk didirikan pula masjid yang hari ini terkenal dengan nama Masjid Nabawi, sebagai pusat kegiatan memancarkan syiar Islam.

Semua ini dilakukan sesampainya di bumi Madinah sebelum baginda berfikir mendirikan rumah peribadi mahupun prasarana-prasarana lain. Hakikatnya, masjid dijadikan pusat penyebaran syiar Islam dan pembangunan modal insan yang paling berkesan.

Selain daripada menjadi pusat dakwah dan penyebaran syiar Islam, masjid turut berperanan aktif menjadi faktor menyatu umat. Sering kali jika berlakunya perselisihan mahupun pertentangan pendapat di kalangan sahabat-sahabat, masjidlah yang menjadi tempat pertama untuk dituju bagi mendapatkan Rasulullah SAW. Institusi masjid juga berperanan aktif sebagai medan memupuk semangat jihad yang tinggi di kalangan sahabat Nabi SAW.

Malah sekiranya wujud isu-isu penting yang perlu disampaikan kepada masyarakat yang menyentuh pelbagai permasalahan kehidupan, supaya berkumpul di masjid. Maka berhimpunlah seluruh warga Madinah di masjid untuk mendengar segala peringatan dan pedoman yang disampaikan Rasulullah SAW.   

Pernah satu ketika Rasulullah SAW turut menyediakan tempat tinggal sementara di pekarangan masjid bagi sekelompok sahabat yang tidak berwaris dan tidak mempunyai tempat tinggal. Sejarah juga jelas menukilkan bagaimana masjid turut menjadi pusat perawatan tentera yang cedera di waktu-waktu peperangan.

Khemah yang didirikan di pekarangan masjid cukup terkenal dengan nama 'Khaimah Ummi Rufaydah' yang turut menjadi tempat sabahat tersohor Saad bin Muaz dirawat.

Demikianlah besarnya peranan masjid pada zaman Nabi SAW yang menjadi pusat pelbagai kegiatan umat Islam. Apa yang pasti sebagai pusat penyebaran dakwah dan kesatuan umat, masjid bukan setakat menjadi pusat ibadah secara ritual semata-mata. 

No comments:

Post a Comment