Golongan
pemerintah atau pihak istana telah memberi sumbangan besar dalam perkembangan
agama Islam di Kelantan. Sehingga pada masa dahulu Kelantan menjadi pusat
perkembangan Islam di Nusantara.
Atas sebab itu Kelantan diberi jolokan dengan nama Serambi Makkah atau Serambi
Mekah yang kekal sehingga sekarang. Dengan restu dan sokongan pihak istana,
usaha pengambangan ajaran Islam berjalan dengan lancar.
Dinasti
Long Yunus yang diasaskan oleh Long Yunus (1775 - 1794) telah menjadikan hukum
Islam sebagai teras pentadbiran. Golongan ulama dilantik menjadi penasihat
kepada pihak istana dalam soal berkaitan hukum agama dan pentadbiran.
Pada
zaman pemerintahan Long Yunus, telah lahir seorang ulama terkenal iaitu Tuan
Sheikh Haji Ab. Halim. Beliau menjadi penasihat kepada pihak istana dan
mengadakan kelas pengajian agama di istana untuk kerabat diraja dan pembesar
negeri.
Pada
masa pemerintahan Sultan Muhammad I (1800 - 1835), Sheikh Haji Ab Halim telah
dilantik sebagai penasihat khas baginda. Atas nasihat beliau, Sultan Muhammad I
telah mengarahkan membina banyak masjid, surau dan wakaf untuk tempat beribadat
dan kemudahan persinggahan.
Semasa
pemerintahan Sultan Muhammad II (1839 - 1886), syiar Islam lebih berkembang
pesat di Kelantan. Baginda telah melantik lebih ramai pegawai agama bagi
menguruskan soal-soal keagamaan. Di setiap mukim dan kampung dilantik imam dan
bilal untuk mengendalikan hal-ehwal agama.
Pada
masa pemerintahan baginda, Masjid Kota Bharu telah didirikan pada tahun 1867
bagi menggantikan masjid lama. Masjid Kota Bharu kemudiannya muncul sebagai
pusat pengajian dan keilmuan terpenting di Kelantan dan seluruh Nusantara.
Masjid
Besar Kota Bharu atau kini dikenali Masjid Muhammadi mula dibina pada tahun
1921 (menggunakan batu) menggantikan bangunan kayu. Masjid tersebut siap
sepenuhnya pada tahun 1931. Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di
antara bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya di Kota Bharu.
Kewujudan
Masjid Besar Kota Bharu menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan
ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar telah
wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam.
Sultan
Ahmad (1886 - 1889) menggantikan Sultan Muhammad II juga mengikuti usaha
pemerintah sebelumnya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam. Kelas-kelas agama
dikendalikan oleh ulama terkenal semakin banyak dibuka.
Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan satu sejarah besar kepada pekembangan
Islam di Kelantan. Ia satu bukti usaha pihak istana ingin memperkukuh dan
menyediakan satu badan khas untuk mentadbir urusan keagamaan dan kebajikan
bangsa Melayu di Kelantan.
Penubuhan
MAIK dilakukan pada 24 Disember 1915 bersamaan 16 Safar 1334 dilakukan atas
titah Sultan Muhammad IV (1900 - 1920). Dengan adanya MAIK segala urusan
keagamaan dikendalikan oleh pegawai mempunyai kemahiran khusus dan sumber
kewangan yang dirancang untuknya.
MAIK
menerbitkan majalah Pengasuh pada 1918 yang antara lain bertujuan memudahkan
usaha penyebaran pengetahuan Islam kepada rakyat. Penyunting kehormat pertama
Pengasuh ialah Haji Muhammad Yusof bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali,
seorang ulama tersohor Kelantan.
Pengasuh
menjadi media terpenting menyebarkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh
mesyuarat ulama dan menjawab persoalan berkaitan agama yang dikemukakan oleh
pembaca.
Pengasuh menjadi medan perbincangan dan sumber ilmu Islam terpenting. Pengasuh
masih diterbitkan sehingga sekarang dalam bentuk majalah agama lebih
golbal.
No comments:
Post a Comment