Dalam Islam, setiap apa yang dilakukan di dunia ini bukan saja memberi
kesan di dunia saja, bahkan ia turut menentukan kedudukan seseorang di akhir
nanti. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan, tidak kira sebesar zarah, sama
ada baik atau buruk tetap diperlihatkan di akhirat kelak, yakni menerima
pembalasan yang setimpal.
Hal ini tidak terkecuali berkaitan dengan komunikasi. Maka itu, etika
berkomunikasi dalam Islam amat mementingkan kedua-dua kesan iaitu di dunia dan
akhirat. Apa yang dilakukan berkaitan komunikasi memberi kesan di dunia dan
akhirat. Contohnya, Islam melarang menyebarkan fitnah kerana kesan buruknya
amat besar. Maka itu dalam Islam diumpamakan keburukan menyebarkan fitnah
disamakan seperti membunuh, bahkan lebih besar dosanya.
Sesungguhnya ajaran Islam amat mementingkan komunikasi yang baik. Seperti
diketahui, gaya badan juga satu bentuk komunikasi, contohnya senyum. Dalam
Islam, senyum adalah sebahagian daripada sedekah. Betapa indahnya Islam.
Senyumpun dikira sedekah, yang balasan kebaikannya turut tercatat untuk dihisab
di akhirat kelak.
Berbeza dengan komunikasi konvensional yang hanya mementingkan kesan dalam
komunikasi. Apa yang penting komunikasi itu mencapai matlamatnya. Contohnya,
jika komunikasi yang dilakukan itu untuk memburukkan seseorang, maka ia
dianggap berjaya jika hasrat atau tujuan memburukkan itu tercapai.
Biarpun bukan Islam terikat pada nilai-nilai moral dalam berkomunikasi,
mereka hanya merasakan itu perlu dilaksanakan atas tujuan mencapai kebaikan
atau matlamat di dunia semata-mata. Mereka tidak memikirkan apa yang terjadi
selepas kematian dan hari pembalasan.
Sebab itu, komunikasi yang tidak berasaskan Islam, khususnya melalui media
massa, banyak unsur gosip liar, fitnah dan penipuan terancang berlaku dengan
berleluasa. Malah, ada media yang popular semata-mata berita bersifat gosip
liar. Mereka menyajikan berita secara tidak beretika semata-mata untuk mengaut
keuntungan. Akibat berleluasanya amalan komunikasi sedemikian, ia sudah diterima
sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat.
Banyak media massa mengamalkan etika tidak selari dengan kehendak Islam.
Budaya ini sudah sebati di negara Barat, dan kini telah menular di negara kita.
Malah, jika ditinjau di pasaran sekarang, majalah yang bersifat gosip dan
berita murahan lebih banyak menguasai pasaran akhbar dan majalah di negara
kita. Manakala rancangan televisyen yang berbentuk gosip juga mendapat rating
tertinggi berbanding rancangan-rancangan lain.
Sama juga dengan semua prrofesion lain, wartawan juga terikat dengan
etika. Mereka perlu memahami dan
mengamalkan etika agar tidak terjabak dengan berita sensasi yang melanggar
nilai akhlak dan mungkin mendatangkan keburukan kepada diri sendiri. Kita dapati
banyak kes di mana wartawan disaman berjuta-juta ringgit oleh pihak yang
merasakan diri diaibkan, mendatangkan kerugian atau masalah disebabkan sesuatu
berita yang tidak benar ditulis oleh wartawan.
Wartawan terikat kepada kaedah penulisan 1H dan 4W iaitu how, where, when,
what dan who. Kaedah itu jelas dan jika dipatuhi sepenuhnya wartawan tidak akan
berdepan untuk menghasilkan tulisan yang baik.
Diharapkan ia dapat memberi kefahaman lebih mendalam berkaitan etika
kewartawanan berdasarkan kepada ajaran Islam. Pengamal media dari kalangan
Islam perlu ditambah agar umat Islam tidak disajikan dengan berita yang
merugikan umat Islam. Musuh-musuh Islam menguasai media massa dengan mudah
menggunakan untuk menghancurkan Islam.
Umat Islam perlu menggunakan senjata media untuk bangkit membela nasib
ummah. Perkara paling penting ialah wartawan Islam perlu menunjukkan contoh
yang baik agar lebih dihormati dan dicontohi dalam melahirkan sesuatu berita
yang tepat, benar dan mendatangkan manfaat.
Wartawan tidak akan tersasar melaporkan sesuatu berita atau membuat
komentar jika sedar bahawa dia memegang amanah yang besar terhadap agama,
bangsa dan tanahair. Pena wartawan mampu mengubah minda pembaca ke arah yang
dikehendaki. Jadi, gunakan kuasa minda itu ke arah kebaikan dan bukannya
mendatangkan malapetaka kepada ummah.
Betapa besarnya peranan wartawan dan akhbar, Napalion Bonapet pernah
menukilkan kata-kata aku lebih takut mata pena wartawan berbanding daripada
sekalian banyak bala tentera di medan perang.
No comments:
Post a Comment