Friday, 8 June 2018

JUBAH, KOPIAH BUKAN UKURAN KEMULIAAN

Di kalangan umat Islam di negara kita masih banyak yang keliru mengenai jenis pakaian yang perlu dipakai sebagai lambang orang beriman. Ada pihak yang mengatakan hanya jenis pakaian tertentu yang dianggap melambangkan keislamanan. 

Sedangkan yang lain itu dikaitkan pula sebagai pakaian orang kafir, yakni mengikut apa yang dipakai orang Barat. Sebab itu, ada yang memandang sinis kepada orang berkot dan bertali leher. 

Paling jelas lagi jika pakaian itu dipakai ketika pergi ke masjid.  Pada mereka, jika pergi ke masjid mestilah berjubah, berkopiah dan berserban. Paling tidakpun berkain pelekat, berbaju Melayu dan berkopiah. Malah ada yang membuat andaian berbeza jika berkopiah dengan bersongkok.   

Hakikatnya, jubah, kopiah dan serban bukan menjadi ukuran ketakwaan dan kemuliaan peribadi seseorang individu Muslim. Sebaliknya, yang menjadi ukuran adalah penghayatan Islam dan nilai ilmu, dan sejauh mana diamalkan untuk membentuk insan yang sempurna.

Jubah, kopiah dan serban mudah dibeli dan dipakai oleh sesiapa juga tanpa ada syarat pemakaiannya. Sebaliknya, akhlak mulia dan nilai peribadi seorang tidak boleh dibeli, melainkan diperoleh secara didikan dan amalan yang berterusan, yang lahir semata-mata mengharapkan keredaan daripada Allah. 

Islam menitikberatkan pembinaan sahsiah dan pekerti mulia untuk melahirkan ummah yang berjaya. Unsur ini bersifat dalaman yang lahir hanya jika ada keikhlasan diri untuk melakukannya. Sifat yang baik adalah pakaian Muslim sejati. 

Sebaliknya, pakaian luaran tidak semestinya melambangkan apa yang ada dalam diri. Itu hanya kostum yang boleh bertukar ganti dengan mudah. Watak yang dibuat-buat ketika memakai sesuatu kostum juga boleh berubah-ubah seperti pelakon yang memegang pelbagai watak.

Namun, pemakai kostum itu tetap berwatak asal biar apapun yang dipakai. Sebab itu, kita dapat perhatikan orang yang berpakaian yang kononnya lambang keislaman melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak Islam.   

Perkara ini dilakukan oleh individu yang suka berpura-pura dengan penampilan diri yang boleh mengelirukan orang ramai tentang peribadinya yang sebenar. Perbuatan itu amat ditegah dalam Islam kerana boleh mencemarkan nama baik individu yang memang soleh.   

Az-Zarkasyi berkata: “Haram bagi mereka yang bukan dari kalangan orang soleh berpakaian seperti orang soleh, jika perbuatan itu boleh memperdaya orang lain dengan menyangkanya seorang soleh lalu memberinya sesuatu.”  

Oleh itu jangan mudah menilai seseorang berdasarkan pakaian luarannya. Ramai antara kita mudah memberi merit keislaman atau keimanan seorang berdasarkan pakaian. Jika seorang itu berkopiah atau berserban dan berjubah, maka dia itu orang alim.

Sebenarnya berjubah dan berkopiah atau berserban adalah pakaian tradisi masyarakat Arab yang tiada kaitan dengan tanda keimanan. Ada hadis menyebut yang bermaksud: “Serban-serban itu adalah mahkota orang Arab.” (Hadis riwayat Ad-Dailami). 

Amalan memakai serban dan jubah di kalangan orang Arab bermula sejak sebelum kedatangan Islam. Manakala sekarang ini, orang Kristian dan Yahudi di negara-negara Arab juga berjubah dan berserban. Malah, memakai kopiah adalah identiti orang Yahudi di sesetengh tempat.  

Masyarakat kita mudah percaya kepada individu yang berpakaian nampak alim, macam pak haji (mak haji), dan tok guru. Keadaan inilah diambil kesempatan oleh sesetengah individu untuk menipu. 

Banyak kes penipuan dilakukan oleh individu yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk memperdaya orang ramai. Lelaki berjubah, berkopiah atau berserban, manakala wanita pula memakai telekung labuh. 

Banyak orang yang sedang dibicarakan di mahkamah memakai kopiah. Apakah tujuan sebenarnya? Adakah mereka ingin menunjukkan bahawa mereka sebenarnya alim dan tidak melakukan kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya? 

Perbuatan itu ada lojiknya. Sebabnya, kebanyakan kita mudah merasa kesihan kepada mereka yang menampilkan pakaian berbentuk orang alim. Tambah lagi apabila menunjukkan wajah memohon simpati.

No comments:

Post a Comment