Sunday 3 June 2018

MAKSUD, JENIS SUKUK

Perkataan atau istilah sukuk semakin kerap digunakan dalam kamus kewangan negara. Istilah sukuk sebenarnya berasal dari bentuk jamak dari bahasa Arab iaitu 'sakk' atau membawa maksud sijil, cek dan instrumen undang-undang. 

Secara ringkasnya sukuk didefinisikan sebagai sijil bernilai sama yang merupakan bukti kepemilikan yang tidak dibahagikan atas suatu aset, hak manfaat dan jasa-jasa atau kepemilikan atas projek atau kegiatan pelaburan tertentu.

Pada prinsipnya sukuk adalah obligasi atau kewajipan konvensional berupa aplikasi konsep imbalan dan tanpa faedah melalui transaksi pendasar terhadap jumlah tertentu aset yang menjadi asas penerbitan sukuk dan wujudnya akad atau perjanjian antara pihak-pihak berdasarkan prinsip-prinsip syariah yakni instrumen kewangan yang bebas riba, gharar dan judi.

Sukuk secara umumnya mempunyai keistimewaan dan faedahnya yang tersendiri di mana mampu dilonjakkan sebagai sumber pembiayaan negara dan dalam, masa yang sama mengembangkan sistem kewangan Islam dalam aspek sebagai alternatif kepada instrumen pelaburan konvensional. 

Sukuk juga mampu menjadi landasan terbaik ke arah perluasan dana masyarakat umum yang bebas riba.

Permintaan terhadap sukuk semakin memberangsangkan kerana ianya telah berkembang dengan begitu pesat dan menjadi antara peluang pelaburan yang menawarkan risiko yang rendah, pendapatan yang tetap serta berlandaskan syariah.

Sukuk juga boleh dikenali dengan nama Bon Patuh Syariah atau Bon Islam. Terdapat persamaan antara sukuk dengan bon konvesional seperti mempunyai tempoh matang, kupon profit dan boleh dijual beli pada harga hasil.

Walau terdapat persamaan antara sukuk dengan bon konvesional namun perbezaan juga adalah amat ketara iaitu bon konvesional adalah merupakan klaim seseorang pelabur pada aliran wang di masa hadapan kepada pihak yang mengeluarkan bon.

Terbitan sukuk secara amnya dilakukan oleh syarikat-syarikat multinasional, perbadanan asing dan agensi pelbagai bidang seperti perbadanan kewangan antarabangsa, Bank Dunia dan bank pembangunan Islam.

Jualan sukuk mewujudkan lebih banyak kecairan dalam pasaran dan membantu memastikan kestabilan sumber dana-dana bagi syarikat-syarikat yang mahu membiayai semula hutang dan meluaskan operasi mereka. 

Peningkatan penerbitan itu akan diterajui oleh syarikat-syarikat infrastruktur dan utiliti menggunakan kupon sebagai cara memperoleh pembayaran daripada aset-aset yang disandarkan.

Di negara kita, sukuk dikawal selia di bawah bidang kuasa luas Suruhanjaya Sekuriti (SC). Majlis Penasihat Syariah (SAC) bagi SC, yang bertanggungjawab terhadap semua hal-ehwal syariah berkaitan terbitan pasaran modal Islam, mengawal asas hukum Syariah bagi struktur sukuk.

Jenis-jenis sukuk:

SUKUK IJARAH
Sukuk ini adalah berdasarkan kepada pembelian atau penyewaan sesuatu aset melalui kontrak, bayaran sewa dan lain-lain lagi. Ianya adalah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan ciri-ciri asas pada sukuk ini ialah penekanan kepada kontrak yang mana pemegang sijil kontrak adalah bukan pemilik aset tersebut. Manakala sewaan pula adalah melibatkan orang ketiga.

SUKUK MUDHARABAH
Sukuk Mudharabah adalah merupakan sukuk yang berkaitan dengan pelaburan dan pemilikan ekuiti Mudharabah merupakan pemilik aset. Pemilik aset akan menyerahkan kepada pihak yang ketiga bagi bertanggungjawap dalam menguruskan aset tersebut. 

Manakala apabila mendapat keuntungan, maka ianya akan dibahagikan berdasarkan kepada persetujuan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Tujuan sukuk ini adalah bagi menggalakkan peningkatan dalam penyertaan diri dalam projek-projek yang mempunyai pelaburan yang besar.

SUKUK MUSYARAKAH
Sukuk Musyarakah adalah merupakan sukuk pelaburan yang melibatkan perwakilan ekuiti Musyarakah yang bermaksud perkongsian pemilikan yang melibatkan lebih dari dua orang individu dalam menubuhkan sesuatu perniagaan. 

Pembahagian keuntungan atau pun kerugian adalah berdasarkan kepada kadar pemilikan ekuiti. Tujuan sukuk ini adalah untuk mendapatkan dana dalam sesuatu projek dan juga mengembangankan kepada projek yang sedia ada.

SUKUK SALAM
Sukuk Salam pula menerangkan sijil pelaburan yang diterbitkan pada nilai yang sama dan bertujuan dalam menggerakkan modal atau dengan kata lain, pemegang sijil akan mengeluarkan modal terlebih dahulu dan akan diperolehi pada waktu-waktu yang tertentu yang telah ditetapkan. 

Pemegang-pemegang sijil berhak ke atas pelaburan yang diceburi itu. Takaful Takaful merupakan satu bidang insurans yang berasaskan kepada hubungan persaudaraan Islam, saling rasa tanggungjawab dan saling bekerjasama dikalangan peserta. 

Konsep insurans ini boleh dibezakan apabila dibandingkan dengan insurans konvensional kerana takaful menerapkan konsep keikhlasan dan tabarru.

No comments:

Post a Comment