Friday, 13 November 2026

ZAKAT MEMBANTU GOLONGAN MISKIN

 
Zakat membantu golongan miskin hidup lebih baik.

Dalam Islam telah terdapat mekanisma wajib iaitu zakat yang mesti ditunaikan oleh golongan kaya yang cukup syarat wajib zakat. Jika perintah agama ini dilaksanakan sepenuhnya, nasib golongan miskin akan terbela. 

Sekarang ini sistem pungutan zakat di negara kita semakin bertambah bersistematik yang diuruskan oleh pakar dan berjaya mengumpulkan jumlah yang besar untuk manfaat golongan yang layak menerimanya.

Jumlah yang wajib dikeluarkan zakat adalah dianggap sebagai milik golongan yang layak menerimanya. Pemilik asal haram daripada terus memegang jumlah harta yang sepatutnya dikeluarkan zakat itu. 

Orang yang enggan mengeluarkan zakat tergolong sebagai tidak sempurna imannya kerana mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang menjadi tonggak kesempurnaan keislaman seseorang.

Mengeluarkan zakat adalah cara untuk membersihkan harta. Harta yang bersih lebih subur dan diberkati. Ia umpama seperti dahan pokok yang berpenyakit perlu dipotong.

Jika tidak dipotong, penyakit akan merebak ke dahan lain. Sebalik, selepas dipotong, akan tumbuh tunas lain yang lebih segar.

Selain zakat, satu lagi tuntutan syariat ialah bersedekah. Islam tidak menetapkan syarat untuk mengeluarkan sedekah, asalkan mampu melakukan dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada diri sendiri.

Sikap sesetengah individu yang bersedekah tanpa menghiraukan keperluan sendiri dan keluarga adalah ditegah. 

Utamakan dahulu keperluan diri sendiri dan ahli keluarga, baru difikirkan untuk orang lain. Peraturan ini bukan melahirkan sikap mementingkan diri, tetapi satu keperluan dalam kaedah fikah. 

Gambar - Masjid Nursalam, Gerik.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment