Sesungguhnya Allah SWT yang melapangkan
rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan rezeki mana-mana hamba
yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah
meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Surah al-Rad,
ayat 26)
Untuk keluar daripada kesempitan hidup,
manusia dituntut sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan bertakwa
dengan menunaikan kewajipan serta meninggalkan larangan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar dan dia
akan diberi rezeki dari arah yang tidak pernah dia sangka.” (Surah al-Talaq,
ayat 2-3)
Ini kerana apa saja kesusahan yang menimpa
adalah disebabkan dosa atau kezaliman manusia sendiri. Setiap mukmin harus
memperhatikan iman terhadap Allah yang memberi rezeki, memohon ampun daripada
Allah agar kesusahan itu diangkat dari mereka.
Para Rasul dan umat terdahulu mengajarkan
untuk memperbanyak istighfar supaya dimudahkan urusan dan diberi jalan keluar
terhadap apa saja permasalahan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa
memperbanyakkan istighfar nescaya Allah memberikan jalan keluar bagi setiap
kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang
tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad)
Nabi Nuh turut menasihati umatnya untuk
beristighfar dan hal ini direkod dalam Al-Quran, “Aku berkata, ‘Beristighfarlah
kalian kepada Tuhan kalian kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Jika kalian
selalu beristighfar) Dia akan menurunkan dari langit hujan lebat dan
melapangkan untuk kalian kebun-kebun dan anak keturunan kalian.” (Surah Nuh,
ayat 10-11)
Allah berfirman, “Dan sekiranya penduduk
negeri beriman dan bertakwa pasti Kami bukakan untuk mereka berkah dari langit
dan bumi. Namun mereka mendustakan, maka Kami siksa mereka sesuai dengan dosa
yang mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf, ayat 96)
Harus diingat bahawa Allah menetapkan
rezeki, baik kesenangan mahupun kesempitan sesuai maslahat hamba-Nya. Boleh
jadi harta kekayaan dan kesenangan akan menyebabkan seseorang itu lalai, leka,
jauh daripada Allah dan sibuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat.
Banyak kita perhatikan orang kaya yang
membazir, tidak menunaikan zakat, terjebak dalam maksiat dan pelbagai perbuatan
melampaui batas.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika
Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka melampaui batas
di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran.
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui hamba-hambaNya lagi Maha Melihat.” (Surah as-Syura,
ayat 27)
Usah khuatir kerana rezeki setiap manusia
pasti dicukupkan dan tidak dikurangkan sedikit pun. Kenaikan harga sama sekali
tidak mempengaruhi rezeki yang ditetapkan.
Ini seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya salah seorang kamu tidak akan mati sehingga dia
mendapat seluruh rezekinya secara sempurna. Maka janganlah kamu tidak sabar
dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah
rezeki secara baik, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Sahih.
Riwayat Al-Hakim)
No comments:
Post a Comment