Monday, 13 February 2023

ZAKAT FITRAH PELANGKAP PUASA RAMADAN

 
Zakat fitrah menjadi pelengkap kepada kesempurnaan ibadat puasa. Ibadat puasa tanpa disempurnakan zakat fitrah adalah ibadat yang cacat, tidak layak diangkat sebagai ibadat orang bertakwa. 

Zakat fitrah juga berbeza berbanding zakat harta, zakat ternakan, zakat perniagaan, zakat galian, zakat simpanan dan zakat pertanian yang mana hanya diwajibkan kepada yang memiliki sejumlah hasil agak banyak. 
 
Zakat fitrah diwajibkan kepada semua individu Muslim, tidak kira kecil, miskin maupun hamba. Zakat fitrah bukan hanya diwajibkan kepada golongan kaya seperti difahami kebanyakan orang.
 
Ini jelas membuktikan kepentingan zakat fitrah kepada setiap Muslim dan seluruh masyarakat yang mendapat manfaatnya. Sesungguhnya kefarduan zakat fitrah menguji ketakwaan dan keikhlasan yang tiada tandingannya. 
 
Tanpa menunaikan zakat fitrah, diri seseorang masih dalam keadaan tidak bersih sepenuhnya. Sebab itu fitrah bererti suci bersih. 
 
Zakat fitrah wajib ditunaikan bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada hari Aidilfitri.
 
Kefarduan zakat fitrah turut menyenaraikan golongan miskin wajib menunaikan bagi dirinya dan juga tanggungannya. Hanya golongan fakir, yakni golongan paling miskin yang tidak mempunyai bekalan makanan untuk dimakan pada keesokannya tidak diwajibkan membayar zakat fitrah.
 
Amat jelas sekali kefarduan zakat fitrah memerlukan pengorbanan yang amat tinggi, terutama di kalangan orang miskin. Pada kebiasannya, golongan miskin menjadi kelompok utama menerima zakat, sedekah dan bantuan, tetapi bagi zakat fitrah mereka turut menjadi golongan memberi.
 
Di sebalik kefarduan zakat fitrah memperlihatkan betapa Islam amat mementingkan kepada pembinaan ummah yang sejahtera, tidak mementingkan diri, serta kepatuhan kepada hukum biarpun dalam keadaan kurang mampu.
 
Ketika kita merasa kurang mampu, mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan daripada kita. Sikap sanggup berkorban untuk membantu orang yang lebih daif daripada kita amat mulia. 
 
Untuk melahirkan ummah yang kuat dan berpadu hendaklah menjauhkan sikap mementingkan diri. Melalui kefarduan berzakat fitrah diharapkan perpaduan umat Islam berada dalam keadaan lebih kukuh dan padu, lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri yang menjadi lambang kejayaan melawan hawa nafsu.
 
Ingatlah, kegembiraan menyambut Aidilfitri tidak lengkap selagi tidak melaksanakan zakat fitrah untuk diri sendiri dan orang di bawah tanggangan. Berzakat fitrahlah untuk menyempurnakan Ramadan dan ibadat puasa.

No comments:

Post a Comment