Saturday, 7 November 2020

BIDEN PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT KE-46


Calon Demokrat, Joe Biden memenangi pilihan raya sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus menamatkan era pemerintahan Donald Trump yang menggemparkan politik negara itu dan mengejutkan dunia serta menyebabkan negara itu mengalami perpecahan paling teruk.

Rangkaian berita AS seperti CBS, NBC dan CNN melaporkan kemenangan itu selepas pengiraan undi di Pennsylvania menyaksikan Biden, 77, mendahului pengundian antara negeri untuk menentukan pemilihan presiden AS ke-46.

"Rakyat Amerika, saya rasa dihormati apabila anda mengundi saya untuk mengetuai negara hebat ini," kata Biden dalam satu kenyataan.

"Tugasan menanti kita memang berat, tetapi saya menjanjikan kepada anda semua satu perkara iaitu saya akan menjadi presiden kepada semua rakyat AS, sama ada anda mengundi saya atau tidak. Saya mempunyai keyakinan untuk mempercayai anda."

Bagaimanapun, Trump segera memberikan reaksi terhadap pengumuman itu dan mendakwa Biden tersilap mengisytiharkan dirinya sebagai presiden.

"Kita semua tahu kenapa Joe Biden tergesa-gesa dan tersilap mengumumkan dirinya sebagai pemenang dan media pula bersungguh-sungguh mahu membantunya. Mereka tidak mahu kebenaran didedahkan," kata Trump dalam satu kenyataan.

Bagi Biden yang mencatatkan rekod dengan lebih 74 juta undian, kemenangan dalam pertarungan sengit ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 adalah pencapaian terhebat peribadi selepas terbabit hampir setengah abad dalam politik AS, termasuk lapan tahun sebagai timbalan kepada presiden kulit hitam pertama AS iaitu Barack Obama.

Keputusan itu menyaksikan Trump, 74, yang beberapa kali membuat kecoh dan menghentikan pengiraan undi kini muncul presiden satu penggal pertama selepas George H W Bush pada awal 1990-an.

Kemenangan Biden turut melakar satu lagi sejarah negara itu apabila Senator Kamala Harris bakal menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai naib presiden negara itu, sekali gus jawatan tertinggi bakal dijawat wanita dalam pentadbiran AS.

Biden yang juga bekas naib presiden ketika pentadbiran Barack Obama pada kempennya sebelum ini sudah mengumumkan bahawa Harris akan dilantik sebagai naib presiden sekiranya beliau menang pilihan raya kali ini.

"Saya mungkin menjadi wanita pertama (sebagai naib presiden), tetapi ia mungkin bukan yang terakhir," katanya ketika berucap pada penampilan di Delaware, seperi dilaporkan AFP.

Dalam pada itu, bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengucapkan tahniah kepada Biden atas kemenangannya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Senator Kamala Harris yang menjadi wanita pertama yang bakal dilantik sebagai Naib Presiden negara itu.

"Pada pilihan raya ini, sesuatu yang tidak pernah terjadi, jumlah rakyat Amerika yang keluar mengundi adalah tidak pernah disaksikan. Selepas setiap undi dikira, presiden dan naib presiden yang dpilih, Biden dan Harris kini melakar kemenangan bersejarah," katanya.

"Menerusi gandingan paling bersejarah, penolakan terhadap Trump dan kisah baharu untuk rakyat Amerika. Terima kasih kerana menjadikan ia terjadi. Seterusnya, kita akan bergerak bersama-sama," tulis Clinton menerusi Twitter.

Selain itu, Senator Mitt Romney, pengkritik utama Trump dari kalangan partinya sendiri dan menjadi ahli Kongres tunggal dari Parti Republikan yang menyokong usul pendakwaan terhadap presiden berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada Biden dan Harris.

"Hari ini adalah detik paling bersejarah untuk Amerika Syarikat. Rekod menunjukkan 75 juta rakyat Amerika mengundi untuk memilih Joe Biden sebagai presiden - kemenangan bersejarah yang memberikan mandat kepada Parti Demokrat," katanya.


No comments:

Post a Comment