Sunday 17 May 2020

BILANGAN MINIMA SAH SOLAT JUMAAT

Mengikut amalan umat Islam di Malaysia yang bermazahab Syafie, syarat sah melakukan solat Jumaat ialah 40 orang. Jika jemaah tidak cukup 40 orang, maka tidak didirikan solat Jumaat, sebaliknya dilakukan solat Zohor berjemaah. 

Perkara ini kerap berlaku di kawasan penduduk yang kurang, terutama pada masa dahulu. Jika ada penduduk yang uzur atau keluar kampung, maka bilangan jemaah tidak cukup 40 orang. Penduduk tidak mempunyai kenderaan untuk pergi ke masjid lain yang terletak di kampung lain.

Namun, ramai yang mempersoalkan mengapa pada musim Covid 19 ini, dibenarkan pula mendirikan solat Jumaat dengan bilangan empat orang? Maka ada yang berhujah bahawa terdapat pendapat Imam Syafie yang mengatakan sah mendirikan solat Jumaat dengan bilangan 3 orang sahaja.

Benarkah dakawaan itu. Ikuti penjelasan Dr. Abdel Rahmanov seperti yang tular di media sosial.

Tulis Dr. Abdel Rahmanov:

"Benarkah qawl qadim (pendapat lama) Imam Syafie bahawa bilangan sah solat Jumaat ialah 3 orang atau 12 orang?"

Persoalan ini timbul apabila wabak COVID-19 mulai pulih. Maka timbul cadangan mengapa kita tidak pertimbangkan qawl qadim Imam Syafie bahawa 3 orang atau 12 orang sebagai bilangan sah solat Jumaat.

Saya merujuk kitab-kitab dan hasilnya seperti berikut:

1. Bilangan sah solat Jumaat ialah 40 orang. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Syafie. Bilangan 40 orang ini termasuk imam. Pendapat ini dinukilkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafie.

2. Bilangan sah solat Jumaat ialah 3 orang. Ini dikatakan qawl qadim Imam Syafie. Pendapat ini disebut oleh Ibnul Qas dalam kitab Al-Talkhis.

Sebenarnya tidak tepat menyandarkan pendapat ini sebagai qawl qadim Imam Syafie kerana ia bukan pendapat beliau. Ulama mazhab Syafie tidak menjumpai pendapat ini dalam kitab qawl qadim Imam Syafie.

Imam Haramain menyebut ulama-ulama besar mazhab Syafie telah mencari pendapat ini dalam kitab qawl qadim bagi Imam Syafie namun mereka tidak menjumpainya dan mereka menolak pandangan itu.

Imam Nawawi pula menjelaskan pendapat yang dinukilkan oleh Ibnul Qas ini pelik dan dipertikai oleh ulama mazhab Syafie.

Kajian mendapati pendapat bilangan sah solat Jumaat dengan 3 orang ini disandarkan kepada Imam Al-Layth, Imam Al-Auza'ie, Muhammad dan Abu Yusuf.

3. Bilangan sah solat Jumaat ialah 12 orang. Pendapat ini dikatakan qawl qadim Imam Syafie.

Namun setakat pencarian dalam kitab Mukhtasar Al-Muzani, Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, Nihayah Matlab, Al-Hawi Al-Kabir, Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Al-Syafie, Bahr Al-Mazhab, Mughni Muhtaj dan sebagainya tidak menjumpai pendapat tersebut.

Ulama mazhab Syafie menolak pandangan sah solat Jumaat dengan bilangan 12 orang kerana hadis yang berkaitan tidak boleh menjadi hujah. Maka pendapat sah solat Jumaat dengan 12 orang tidak boleh dianggap sebagai pendapat Imam Syafie.

Kajian mendapati pendapat sah solat Jumaat dengan 12 orang ini disandarkan kepada Imam Al-Rabi'ah.

4. Bilangan sah solat Jumaat ialah 4 orang termasuk imam. Ini pendapat Imam Suyuti dalam kitab Al-Hawi fil Fatawi. Beliau menyebut Imam Muzani juga berpegang dengan pendapat ini.

5. Tiada bilangan khusus sah solat Jumaat bahkan memadai bilangan yang ramai. Ini pendapat Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari.

Berdasarkan huraian di atas, kesimpulan kajian ini seperti berikut:

# Pendapat muktamad mazhab Syafie bagi bilangan sah solat Jumaat ialah 40 orang.

# Tidak wujud qawl qadim Imam Syafie sama ada 3 orang atau 12 orang sebagai bilangan sah solat Jumaat.

# Terdapat pendapat Imam Suyuti dan Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani yang berbeza dengan pendapat masyhur dalam mazhab Syafie.

Dengan itu, kita tidak boleh sandarkan pendapat sah solah Jumaat dengan 3 orang atau 12 orang sebagai qawl qadim Imam Syafie. Ini kerana kita tidak boleh sandarkan kata-kata kepada empunya diri yang tidak berkata demikian.

Namun jika ada teman-teman yang menjumpai sumber nukilan pendapat tersebut daripada kitab yang muktabar maka saya amat gembira untuk membacanya.

Dengan hormat, saya ingin menyatakan bahawa saya lebih cenderung kepada pandangan muktamad mazhab Syafie iaitu bilangan sah solat Jumaat iaitu 40 orang. Pendapat muktamad ini perlu dikekalkan di tanah air kita yang bermazhab Syafie.

Wallahu A'lam

Dr. Abdel Rahmanov
11 Mei 2020

Rujukan:

Al-Talkhis - Sheikh Ibnu Al-Qas
Mukhtasar Al-Muzani - Imam Muzani
Al-Hawi Al-Kabir - Imam Al-Mawardi
Nihayah Al-Matlab - Imam Al-Haramain
Bahrul Mazhab - Qadhi Al-Ruyani
Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Al-Syafie - Imam Al-'Imrani
Tuhfah Al-Muhtaj - Sheikh Ibnu Hajar Al-Haytami
Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari - Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani
Talkhis Al-Habir - Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani
Al-Hawi lil Fatawi - Imam Al-Suyuti
Al-Majmu' fi Syarh Al-Muhazzab - Imam Nawawi 
Mughni Al-Muhtaj - Khatib Syarbini
Raudah Al-Talibin - Imam Nawawi
Tafsir Al-Qurtubi - Imam Al-Qurtubi
Syarh Sahih Muslim - Imam Nawawi

No comments:

Post a Comment