Tuesday 17 March 2020

Perintah Kawalan Pergerakan bukan perintah berkurung

Perintah kawalan pergerakan (partial lockdown) bukan bermaksud perintah berkurung (curfew). Kedua-dua perintah itu berbeza cara perlaksanaan. Ramai menganggap perintah kawalan pergerakan sama seperti dengan perintah berkurung.

Perintah berkurung bermaksud tidak boleh keluar rumah atau sesuatu tempat dalam tempoh tertentu.

Manakala perintah kawalan secara umumnya adalah arahan rakyat Malaysia tidak boleh ke luar negara dan bukan warganegara tidak dibenarkan masuk ke negara kita dalam tempoh tertentu.

Selain itu rakyat juga tidak digalakkan atau dilarang mengadakan perhimpunan yang boleh meningkatkan risiko insiden jangkitan covid 19.
Tapi tidak ada larangan untuk keluar dari rumah untuk mendapatkan keperluan makanan harian, bekerja serta melakukan aktiviti harian lain.

Bagaimana pun mereka yang dikuarantin tidak boleh keluar dari pusat-pusat kuarantin hingga tempoh kuarantin tamat.

Kerana itu tak perlu panik dan berebut-rebut untuk beli barang keperluan harian. Kita hanya perlu ambil tindakan-tindakan seperti arahan dan nasihat pihak berkuasa untuk mengelakkan dari risiko jangkitan Covid-19.

Perintah kawalan yang berkuatkuasa bermula 1201 pagi 18 Mac 2020 hingga 1159 malam 31 Mac 2020 dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi; 

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau self quarantine selama 14 hari.

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. 

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti.

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

No comments:

Post a Comment