Wednesday, 29 January 2020

IBU BAPA FAKTOR KECEMERLANGAN PELAJAR

Semua orang ada potensi berjaya dalam apa juga yang dilakukan, terutamanya dalam pelajaran. Pelajar itu yang datang dari keluarga yang miskin, anak yang cacat, keluarga yang berada, anak yang datang dari perpecahan keluarga, anak yatim piatu dan anak bandar dan luar bandar semuanya mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan kerana kejayaan itu adalah hak bagi mereka yang berusaha untuk mencapainya.

Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membantu anak mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Jalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik dan ikhlas kerana keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memberikan impak yang positif terhadap minda anak untuk berjaya.

Pastikan perbelanjaan untuk tujuan pendidikan anak tidak diabaikan kerana banyak perbelanjaan untuk tujuan membeli buku rujukan, kelas tambahan, yuran aktiviti sekolah dan sebagainya.

Utamakan perbelanjaan sekolah anak berbanding perkara lain yang kurang penting seperti membeli kereta baharu atau perabot baharu. Terapkan nilai murni dalam keluarga agar anak dapat pengukuhan mental, fizikal dan spiritual yang seimbang dalam pertumbuhan diri mereka.

Lakukan solat berjemaah dan aktiviti kekeluargaan lainnya bersama. Aktiviti kekeluargaan yang dijalankan itu mampu mengukuhkan ukhuwah peribadi anak.

Bagi ibu pula, janganlah lupa memasak makanan yang berkhasiat untuk anak dan jangan biarkan anak berlapar dan memakan makanan yang tidak berkhasiat kerana ia memberi impak pada kesihatan anak. Ingatlah 'masakan dari air tangan ibu adalah masakan yang paling lazat' pada anak.

Jagalah keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga kerana keluarga bahagia dan ibu bapa yang hidup dengan penuh kasih sayang akan mampu menjana fikiran yang positif bagi anak.

Membentuk sikap positif dan rasa tanggungjawab terhadap diri anak melalui nasihat yang berguna dan tunjukkan kepada anak situasi yang akan berlaku kepada diri mereka jika tidak ada rasa tanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama dan bangsa. Membentuk sikap patriotik dalam diri anak amat penting.

Jangan lupa memberikan rangsangan kasih sayang kepada anak seperti mengingati hari jadi mereka dan memberi hadiah pada anak dalam apa juga kejayaan yang pernah mereka capai seperti mendapat nombor yang baik dalam kelas, dalam bersukan dan sebagainya. Ini membuatkan anak rasa dihargai dan terus berusaha untuk membanggakan ibu bapa mereka.

Janganlah memarahi anak-anak dengan kata-kata yang tidak elok didengar seperti 'bodoh', 'lembab otak' 'pemalas' dan sebagainya tapi gantikan dengan kata-kata yang memotivasikan anak walaupun dalam keadaan kita marah atas perlakuan anak seperti 'bertuah punya anak', 'belum pandai', 'belum rajin' dan sebagainya bagi menggantikan ayat yang tidak elok itu.

Jangan memukul anak dengan penuh rasa marah, sakit hati atau benci di kepala, muka dan tubuh badan lain yang menyakitkan. Anak akan menyimpan rasa dendam dan rasa benci pada ibu bapa. Anak akan menjauhi ibu bapa yang bertindak seperti ini dan mendekati rakan mereka yang banyak memberi 'nasihat songsang'.

Ajarlah anak agar menghormati guru dan rakan lain. Jangan menyokong dan membela anak yang ditegur guru tanpa sebab kerana ini akan lebih merosakkan mereka. Berdoalah untuk anak kerana doa dan restu ibu bapa adalah penting bagi kesempurnaan dan kejayaan anak.

Kejayaan anak dalam pelajaran adalah kejayaan yang perlu dilihat dengan perspektif yang luas iaitu dalam konteks fizikal, mental dan spiritual bagi memastikan anak bukan setakat berjaya dalam pelajaran saja, tetapi juga dalam membina sahsiah diri yang seimbang sebagai insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment