Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin
merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 31 Disember
2019 berkaitan situasi semasa jangkitan influenza di Malaysia.
Berdasarkan trend yang direkodkan daripada
aktiviti survelan kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI)
dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory
infection (SARI) melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari
seluruh negara, terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI semenjak
pertengahan bulan Disember 2019.
Namun begitu, peningkatan yang direkodkan
masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.
Manakala, analisa oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap virus influenza yang dikesan
daripada aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah
mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel
virus).
Susulan daripada kenyataan akhbar tersebut,
KKM ingin menasihatkan mengenai langkah yang perlu diambil dalam mengendalikan
pesakit terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah 5 tahun seperti
berikut:
- Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut
dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan
badan dengan tuala basah (tepid sponging);
- Elakkan daripada memberi ubat Non-Steroidal
Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana
terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan
risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak;
- Memastikan pesakit minum secukupnya supaya
kekal terhidrat; dan
- Sila bawa pesakit tersebut berjumpa doktor
dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit
influenza seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala
lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.
Selain itu, sebagai langkah pencegahan
penularan jangkitan influenza pula, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar
sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan
dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab
batuk yang baik dan cara hidup sihat.
Orang awam secara amnya dan golongan berisiko
tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza
bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh
negara. Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah
dinasihatkan untuk mengamalkan perkara berikut:
- Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat
tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk
memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan
penularan jangkitan melalui titisan pernafasan;
- Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala
atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah
digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah;
- Mengelakkan dari berkongsi peralatan
peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain;
- Segera berjumpa dengan doktor untuk
pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk
seperti demam dan batuk / sakit tekak yang berterusan.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
4 JANUARI 2020
No comments:
Post a Comment