Tidak semua korban akan diterima Allah.
Penerimaan korban bergantung kepada keikhlasan dan ketakwaan melaksanakan
korban itu. Sejarah awal amalan korban sebagai satu bukti ketakwaan kepada
Allah berlaku ketika menentukan hak memilih calon isteri di antara Habil dan
Qabil.
Pasangan Adam dan Hawa memperolehi zuriat
secara berpasang-pasang, lelaki dan perempuan setiap kali Hawa melahirkan anak.
Antara pasangan itu ialah Habil dilahirkan kembar dengan Labuda dan Qabil
bersama kembarnya Iqlima.
Apabila dewasa mereka dinikahkan dengan
adik beradik, tetapi bukan dengan kembar masing-masing. Adam menentukan Qabil
berkahwin dengan Labuda dan Habil dengan Iqlima. Bagaimanapun Qabil membantah
kerana Labuda tidak cantik. Dia ingin mengahwini kembarnya sendiri Iqlima yang
cantik rupawan.
Kedegilan Qabil menyebabkan Adam buntu
fikiran. Maka Allah memerintahkan agar penentuan siapa layak mengahwini Iqlima
dilakukan dengan penyediaan korban kepada Allah. Siapa yang diterima korbannya
oleh Allah, dialah layak menjadi pasangan Iqlima.
Peraturan tersebut diterima oleh Habil dan
Qabil. Mereka menyediakan korban mengikut apa yang dimiliki
masing-masing.
Habil yang menjadi penternak telah
menyediakan korban seekor kibas yang paling baik dan gemuk daripada hasil
ternaknanya. Kibas itulah paling disayanginya.
Manakala Qabil pula menyediakan gandum
sebagai korban kerana dirinya seorang petani. Tetapi, Qabil memilih gandum yang
telah busuk dan tidak lagi sesuai untuk dimakan. Gandum yang baik disimpan
untuk dimakan.
Kedua-dua korban itu diletakkan di atas
puncak gunung. Mana-mana korban yang diterima oleh Allah akan dimakan oleh
sejenis api putih dari langit, manakala korban ditolak akan dimakan oleh burung
dan binatang. Korban Habil telah diterima oleh Allah.
Peristiwa tersebut diceritakan oleh Allah
melalui firman-Nya bermaksud: “Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah
mengenai dua orang anak (Habil dan Qabil) yang berlaku sebenarnya, iaitu ketika
mereka berdua mempersembahkan suatu persembahan korban. Lalu diterima korban
salah seorang daripadanya (Habil) dan ditolak korban yang lain (Qabil), berkata
(Qabil): “Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. Jawab (Habil): “Hanya Allah
menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27).
Korban Habil diterima kerana keikhlasannya
melakukan korban itu. Dia memilih yang terbaik dan apa yang disayanginya.
Sedangkan Qabil memilih apa yang tidak lagi diperlukan olehnya. Dia awal-awal
lagi tidak ikhlas dan menyimpan sikap bongkak tetap tidak mahu menerima Labuda.
Sikap Habil menepati makasud korban yang
sebenarnya. Dia sanggup mengorbankan apa yang disayangi demi untuk menzahirkan
keikhlasannya. Habil menyediakan korban yang baik bukan untuk menandingi korban
Qabil bagi memperisterikan Iqlima. Bahkan Habil sanggup menerima siapa sahaja
pasangan untuknya, termasuklah Labuda yang hodoh.
No comments:
Post a Comment