Monday, 15 May 2023

PENGAJARAN KISAH NABI DAUD

 
Kebiasaan atau telah menjadi kelaziman, dengan hanya melihat berjubah, kita telah mengatakan seseorang itu alim. Pandai bercakap ala-ala Arab sedikit telah dipanggil ustaz. Baca doa panjang, terus diangkat jadi imam. 
                                  
Begitulah sikap segelintir kita yang mudah melabelkan seseorang berdasarkan apa yang dilihat dari luaran saja. Bahkan, jika kita ingin dianggap begitu, maka kenalah juga melakukan seperti itu. 

Sebabnya, biarpun diri sebenarnya baik, tetapi disebabkan tidak menampilkan diri dalam bentuk umum yang dianggap baik, maka kebaikan itu tidak ‘diiktiraf’ oleh pihak lain.
 
Untuk menjadi panduan dan pengajaran kepada kita semua, elok kita meneliti pengajaran yang boleh diambil dari satu kisah Nabi Daud bersama dengan murid-muridnya. 
 
Kisahnya, pada suatu hari, Nabi Daud memberi pelajaran berkaitan akhlak kepada sekumpulan muridnya di sebuah masjid. Ketika itu, lalu masuk seorang lelaki yang berjubah putih serta memakai haruman yang amat wangi. 
 
Lelaki itu berjanggut, memberi ucapan salam kepada Nabi Daud, namun tidak dihiraukan oleh baginda. Sebaliknya, baginda terus memberi tumpuan kepada muridnya, seakan-akan tidak wujud lelaki itu di dalam masjid. 
 
Lelaki itu kemudian terus menunaikan sembahayang dengan menampakkan rasa tekun, dalam tempoh masa yang lama. Dia sujud dan rukuk begitu panjang berbanding kebiasaan yang  dilakukan oleh orang kebanyakan. 
 
Selesai sembahyang, lelaki itu segera mengangkat tangan berdoa dengan rasa penuh harap sambil menanggis supaya dirinya diampuni segala dosa dan tergolong dalam kumpulan mereka yang disayangi Allah.
 
Sedangkan pada masa yang sama, Nabi Daud terus mengajar muridnya tanpa memberi apa-apa reaksi kepada perlakuan lelaki itu. Bahkan, Nabi Daud tidak memberi peluang kepada muridnya untuk memberi perhatian kepada lelaki itu.
 
Selepas berdoa, lelaki itu bangun untuk meninggalkan masjid itu. Sebelum itu dia meminta diri dan memgucapkan salam kepada Nabi Daud. Pun, baginda tidak menunjukkan tanda hormat kepada lelaki itu.
 
Melihatkan sikap Nabi Daud yang sedemikian, muridnya merasa hairan dan tidak senang hati. Mereka menganggap baginda tidak menunjukkan contoh yang baik dalam hal memberi hormat kepada tetamu, lebih-lebih lagi dari golongan yang dianggap alim dan mulia. Namun, murid-murid itu tidak berkata apa-apa kerana masih dalam masa belajar.
 
Selepas tamat Nabi Daud mengajar, maka salah seorang muridnya bertanya. Katanya: “Wahai Nabi Allah, bolehkan saya bertanya?” Lalu dijawab Nabi Daud: “Ya, silakan.”
 
Tanya murid itu: “Bukankan Nabi mengajar kepada kami bagaimana cara untuk menghormati tetamu?” Jawab Nabi Daud: “Betul,” 
 
Kata murid itu lagi: “Tetapi mengapa engkau sebagai guru tidak menunjukkan contoh bagaimana menghormati tetamu tadi?” Lalu dijawabnya: “Aku tidak memberi perhatian (menghormati tetamu itu) kerana dia tidak mempunyai akhlak yang baik,”
 
“Ingatkah bagaimana caranya memasuki majlis ketika guru mengajar?” soalnya. Tambahnya lagi: “Mula-mula dia perlu melangkah dengan kaki kanan terlebih dahulu sebagai tanda menghormati tempat ibadat ini, dan sepatutnya dia tidak mengucapkan salam terlebih dahulu, melainkan langsung duduk ikut mendengarkan pelajaran,”.
 
Lalu, salah seorang murid lain mencelah: “Tetapi jubah dan janggutnya menunjukkan dia itu orang alim, tidak mungkin dia tidak mengetahui sopan santun dan tata cara memasuki masjid dan majlis ilmu,”
 
Maka Nabi Daud berkata: “Orang seperti inilah yang akan menjatuhkan agama kita kerana penampilannya tidak sesuai dengan sikapnya yang sebenar dalam memenuhi tuntutan agama,”
 
Murid tadi berkata lagi: “Tetapi, kita semua melihat bahawa orang yang berjubah itu melaksanakan sembahayang dengan lama sekali, apakah itu tidak cukup membuktikan kebaikannya?”
 
“Itulah tanda kepalsuan yang mana dia ingin menunjukkan kesolehan kepada kita semua, pada hal dia sebenarnya bukan orang soleh, kerana dia sembahayang buat kita, bukan bagi Allah.” jelas Nabi Daud.
 
Seorang murid pantas bertanya: “Tetamu tadi juga brdoa dengan panjang sambil menangis, bukankah itu menunjukkan kesolehannya?,”
 
Nabi Daud pun bertanya: “Apakah doa yang panjang itu menjamin keikhlasan hatinya? Bukankah Allah lebih menyukai doa yang khusyuk dan penuh keyakinan kepada-Nya.”
 
Tambahnya lagi: “Kalau dia menangis tidak selayaknya di hadapan kita, tetapi menangislah dengan penuh rasa keinsafan di hadapan Allah ketika bersendirian pada waktu malam ketika semua makhluk lain sedang tidur.”
 
Tidak cukup dengan penjelasan itu, lalu seorang lagi muridnya bertanya: “Bukankah wajahnya begitu bersih laksana wajah orang yang sangat ikhlas, dan begitu juga pakaiannya bersih serta serba putih yang melambangkan keikhlasan hatinya dan tidakkah itu lambang orang itu benar-benar tergolong mereka yang takwa?”
 
Nabi Daud menjelaskan: “Takwa itu tidak dilihat daripada rupa dan wajah seseorang, juga tidak dilihat daripada pakaian seseorang, sebaliknya hanya Tuhan yang melihat hati manusia dan menilai dari amal perbuatannya.”
 
Tambahnya lagi: “Adakah amal perbuatan dan sikapnya sehari-hari sesuai dengan hukum syariat dan akhlak, sedangkan manusia itu tidak dinilai daripada luarannya sahaja, melainkan yang terlebih utama dan sebenar-benarnya ialah dinilai daripada isi dan mutu kemanusiaan yang terpancar daripada apa yang dilaksanakan terhadap hukum dan akhlak agama.”
 
Berdasarkan soal jawab yang panjang itu, maka barulah murid-murid Nabi Daud faham tentang sikap yang ditunjukkan oleh baginda. Sesungguh apa yang berlaku itu memberi pengajaran kepada muridnya supaya tidak menilai seseorang hanya berdasarkan luaran apa yang dilihat sahaja.
 
Sebenarnya, pengajaran daripada kisah itu amat berguna sekali untuk kita. Hari ini banyak di kalangan kita mudah tertipu dengan individu munafik yang hanya berpura-pura alim dengan menunjuk-nunjuk dari segi pakaian dan perbuatan.

No comments:

Post a Comment