Kampung Lata Rek antara lokasi yang
menarik di Kelantan kerana terdapatnya Air Terjun Lata Rek. Air terjun terbentuk dari aliran Sungai Rek. Kampung Lata Rek terletak di daerah Kuala Krai. Pengunjung tidak sukar untuk sampai ke Lata
Rek kerana kedudukannya hanya kira-kira 3 kilometer dari simpang Kampung
Lakloh, Jalan raya Kuala Krai- Gua Musang. Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira
100 kilometer dan 40 kilometer dari Kuala Krai.
Keistimewaan Lata Rek terletak pada
hamparan batu yang panjang kira-kira 200 meter dan lebar kira-kira 100 meter
membentuk air terjun yang banyak arah mengikut lurah yang berlainan. Keadaan
ini memberi satu pemandangan yang cantik dari pelbagai arah.
Ini memberi banyak pilihan kepada
pengunjung untuk berada di bahagian mana yang lebih disukai. Ada tempat air terjun terbentuk jeram yang
menakung air sesuai untuk berenang atau berendam di situ. Pengunjung juga boleh
bergerak dan menikmati ‘cabaran’ di pelbagai kedudukan air terjun.
Ketika musim kemarau, air terjun
hanya terbentuk mengikut lurah yang lebih dalam. Bagaimanapun ketika musim
hujan, air terjun melipasi halangan dari pelbagai arah membentuk lebih banyak
air terjun. Pemandangannya sungguh menarik kelihatan seperti air berlumba-lumba
untuk sampai ke bawah.
Kawasan yang luas memberi keselesaan
untuk pengunjung mandi manda. Bagi kanak-kanak mereka boleh memilih bahagian
air terjun yang kecil dan tempat yang rendah. Selain itu kanak-kanak juga
sesuai mandi di aliran sungai yang cetek dan kurang laju.
Berhampiran air terjun terdapat
kawasan berpasir yang luas sesuai dijadikan tapak perkhemahan dan aktiviti
sukan. Bagaimanapun pada musim hujan kawasan tersebut tidak sesuai dijadikan
tapak perkhemahan kerana kadar kenaikan air secara mendadak yang
membahayakan.
Lata Rek mempunyai potensi menjadi
destinasi pelancongan terkenal jika usaha promosi dan maklumat mengenainya
disebarkan lebih meluas. Sekarang ini amat jarang di kalangan penduduk Kelantan
sendiri mengetahui mengenai keindahan dan keistimewaan Lata Rek.
Kedudukannya yang agak jauh dari
Kota Bharu mungkin salah satu sebab mengapa tempat itu tidak terkenal
berbanding Jeram Pasu dan Jeram Lenang.
No comments:
Post a Comment