Tuesday, 21 June 2016

JAGA HARGA DIRI

Jaga harga diri. Jangan mudah dipergaruhi orang lain atau persekitaran. Kita mesti ada jati diri. Ada nilai yang dipegang. Selalulah berfikiran positif. Jangan fikir apa yang orang lain kata. Tetapi fikirlah apa yang perkara baik yang boleh kita lakukan.

Fikirkan apa akan dilakukan pada masa hadapan. Jangan takut untuk berfikir melakukan perkara hebat dan besar. Individu yang berjaya bermula dengan cara berfikir yang positif. Tetapkan satu matlamat kejayaan besar dalam tempoh tertentu. Jangan sekali-kali malu untuk bercita-cita besar kerana takut dikatakan ’Angan-angan Mat Jenin’.

Kita jangan peduli apa orang kata. Apa yang penting kita melakukan dengan perancangan dan azam yang betul. Memang kita akan ditertawakan jika apa yang ingin dilakukan itu tidak dibuat bersungguh-sungguh kemudiannya.  

Maksudnya, apa yang diimpikan itu mesti diusahakan seperti mana yang sepatutnya. Baharu orang lain tidak akan mengelarkan kita sebagai Mat Jenin. 

Sejak kecil hinggalah dewasa, kita mendengar beribu-ribu perkataan yang memperlekehkan keupayaan kita untuk berjaya. Jangan peduli kata-kata itu, sebaliknya jadikan ia penguat semangat untuk membuktikan sebaliknya. Jangan sekali-kali menjadikan kata-kata orang memperlekehkan kita satu kenyataan. 

Banyak orang yang bertindak menjatuhkan harga diri sendiri tanpa mencuba, akhirnya impian mereka hancur berkecai dan tidak dapat dibentuk kembali. Mereka hilang keyakinan diri kerana percaya kepada kata-kata orang lain. Tetapi, mengapa pula kita tidak percaya kepada kata-kata semangat yang diucapkan oleh orang yang ingin melihat kita berjaya.

Azam dan tekad untuk menjadi berani, kuat dan berkuasa mesti lahir daripada kesedaran yang jitu terhadap perubahan. Sebarang kelemahan diatasi dengan membina dan mengukuhkan azam sedikit demi sedikit supaya lahir keyakinan untuk bertindak.

Kekuatan tidak hadir secara mendadak dan terus mencapai kejayaan. Kita perlu berusaha secara berterusan dan mendapat kejayaan yang memberi keyakinan semakin tinggi. Sekiranya kegagalan yang terpaksa ditempuh, ia akan lebih memberi kekuatan pada diri.  

Kegagalan adalah guru yang akan menunjukkan jalan kepada kejayaan lebih berharga selagi kita tidak berputus asa dan terus berazam untuk mencapai apa yang diingini.

Masa menanam azam, sudah tentu motivasi untuk mencapainya berada pada tahap tertinggi. Tetapi, apabila ada halangan atau masa berlalu, ia akan menurun. Jadi, untuk mengatasi masalah itu, motivasi yang menurun itu perlu ditingkatkan semula dengan menanam dan menyuburkan azam sepanjang masa. 

Azam dan semangat adalah seperti ombak dari tengah lautan luas yang sepanjang perjalanan menuju pantai ada turun naiknya, tetapi tetap diteruskan sehingga mencapai puncak tertinggi apabila sampai menghempas pantai. 

No comments:

Post a Comment