Friday, 13 November 2026

CARI TITIK PERSAMAAN BINA HUBUNGAN BAIK DENGAN JIRAN

 
Cari titik persamaan bina hubungan baik dengan jiran.

Hidup berjiran banyak berdepan dengan cabaran dan masalah. Kadang-kadang disebabkan perkara kecil boleh mencetuskan sengketa dengan jiran.

Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur dan saling memahami.

Perlu juga meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. 

Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan. Ia mesti dijadikan amalan berterusan. Ajaran Islam sesuai diamalkan dalam semua masyarakat, masa dan tempat sehingga hari kiamat.

Peraturan berjiran ini memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit yang biasa timbul dalam masyarakat. Tidak akan berlaku perkara buruk jika peraturan ditetapkan agama dipatuhi.

Mengapa kita sukar melakukan suruhan agama? Ia melibatkan pahala dan dosa seperti ibadat-ibadat lain. Menjaga hubungan kejiranan dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya.

Cuba kita muhasabah diri berkaitan hubungan kita dengan jiran. Jangan kita berasa sudah sempurna iman disebabkan kerap berulang alik ke masjid. Masih banyak perkara lain perlu dijadikan ukuran.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya.

"Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim).

Satu kewajipan memupuk dan menjaga semangat kejiranan seperti menjaga keluarga sendiri. Jiran sepakat membawa berkat. 

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment