Hentikan politik perpecahan. Tidak kira bangsa dan asal,
sama ada Melayu, Cina, India, suku kaum atau etnik dari Sabah dan Sarawak,
mahupun Orang Asal, hakikatnya setiap warganegara mendapat hak yang sama rata
mengikut Perlembagaan.
Sebagai warganegara yang asal keturunan di Tanah Melayu
(juga Sabah dan Sarawak), terdapat Perkara dalam Perlembagaan yang memberi kelebihan
tertentu tanpa mengetepikan kepentingan sah kaum-kaum lain, termasuk Cina dan
India. Perkara ini jelas dalam Perkara 153.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ialah peruntukan asas
yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan
istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping
melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.
Warganegara Malaysia lahir, membesar, dan mencurahkan bakti
di tanah tercinta. Inilah tanah tumpah darah setiap warganegra. Oleh itu,
kesetiaan dan sumbangan setiap warganegara tidak sepatutnya dipersoalkan
menerusi polemik yang memecahbelahkan.
Sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia dibina atas
perjuangan bersama pelbagai kaum. Selepas hampir 70 tahun mencapai kemerdekaan,
para pemimpin sepatutnya menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan
nasional yang holistik dan inklusif, bukannya terus menunggang sentimen
perkauman yang lapuk.
Rakyat tidak boleh lupa bahawa kemerdekaan negara dicapai
hasil kerjasama erat semua kaum. Semangat perpaduan inilah yang membentuk teras
perjuangan Parti Perikatan yang kini bernama Barisan Nasional (BN), sebuah
gabungan yang berpaksikan prinsip kesederhanaan dan nasionalisme.
Tanggungjawab rakyat adalah memelihara keharmonian rakyat
secara adil, saksama, dan tanpa prejudis. Ini termasuklah mengangkat hak serta
martabat masyarakat Orang Asal. Semangat inklusif inilah yang menjadi identiti
BN dan membezakan kita daripada parti politik yang lain.
Ketika kempen pilihan raya atau pada bila-bila masa, hentikan
politik cauvinis yang merugikan perpaduan. Jauhkan amalan memainkan pendekatan
ekstrem yang meraih undi.
Tidak seharusnya mana-mana pemimpin yang mengeluarkan
kenyataan tidak bertanggungjawab hingga menggugat emosi rakyat dan merosakkan
kestabilan serta perpaduan negara.
Jika tidak boleh menjadi garam janganlah menjadi langau.
Jika tidak mampu menyatukan rakyat, janganlah menambah retak dengan taktik
menakut-nakutkan. Pemimpin perlu menumpukan fokus membina ekonomi, membantu
rakyat, dan membawa politik progresif yang menyatukan.
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment